This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Wednesday, 28 February 2018

Balik Pulau Terus Membangun Bersama BN


BALIK PULAU 27 Feb. - Jika saiz dijadikan ukuran, Balik Pulau boleh dianggap sebagai kerusi Parlimen pa­ling besar di Pulau Pinang ketika ini.

Sinonim dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak 1974, kerusi tersebut bagaimanapun pernah 'terlepas' ke tangan PKR menerusi calonnya, Yusmadi Yusoff pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, kembalinya Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya yang pernah memenangi kerusi itu 14 tahun lalu memberikan 'nafas baharu' terhadap pembangunan di kawasan Parlimen Balik Pulau yang dianggap bandar pertanian utama di negeri ini.

Dr. Hilmi sebenarnya bukanlah asing dalam kalangan pengundi Parlimen Balik Pulau khasnya dan penduduk Pulau Pinang amnya.

Pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang selama tiga penggal sejak awal 90-an, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Malaya (UM) itu juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika era bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Ketika ditemui baru-baru ini, beliau bagaimanapun meluahkan rasa kecewanya terhadap kepe­mimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat tidak begitu cakna khususnya dalam isu melibatkan pembangunan dan perumahan rakyat di sini.

“Dalam tempoh 10 tahun ini (memegang kerajaan Pulau Pi­nang), saya tidak nampak satu pun ‘pembangunan sebenar’ yang dia (DAP) buat untuk rakyat.

“Yang saya nampak cumalah pembinaan rumah-rumah kos tinggi yang tidak mampu dibeli oleh sebahagian besar penduduk di sini. Di Balik Pulau sebagai contoh, rumah yang dibina ada yang mencecah RM1 juta atau lebih," katanya.

Tambah Dr. Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, pembangunan yang tidak dirancang dengan baik oleh kerajaan negeri juga menjejaskan alam sekitar khususnya di Balik Pulau.

“Sebelum ini, setiap kali hujan lebat atau banjir, kita hanya melihat air jernih turun dari kawasan bukit.

“Namun, ketika ban­jir besar baru-baru ini, yang turun dari kawasan bukit ialah air tanah yang berwarna merah dan saya percaya ini berlaku akibat penebangan pokok dan penarahan bukit di kawasan kita,” katanya.

Apa yang lebih dikesalkan, kata beliau, meskipun masalah itu semakin menghimpit penduduk, namun Ke­rajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah ti­dak mengambil peduli kerana tiada sebarang tindakan susulan diambil.

Ujar Dr. Hilmi, meskipun berdepan beberapa kesukaran kerana Pulau Pinang ditadbir DAP, Balik Pulau sebenarnya kekal membangun di bawah Kerajaan Persekutuan atau BN.

Katanya, selain membina dan membangunkan projek rumah mampu milik untuk penduduk setempat, beberapa projek lain termasuk klinik kesihatan juga sedang dirancang dibangunkan di Balik Pulau demi memastikan kesihatan penduduk terjamin.

Ketika ini, Parlimen Balik Pulau dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah­nya iaitu Teluk Bahang, Bayan Lepas dan Pulau Betong masih dianggap sebagai kubu kuat BN kerana majoriti pengundi di situ berketurunan Melayu yang dahagakan kemajuan dan pemba­ngunan seimbang.

Walaupun pelbagai isu dimainkan pembangkang dalam usaha memancing undi menjelang PRU-14, rata-rata penduduk di sini dilihat lebih selesa berada di bawah naungan UMNO dan BN yang dilihat sentiasa 'bersama' rakyat pada setiap masa. - Utusan Online

Tuesday, 27 February 2018

Tumbangkan Kerajaan DAP Pada PRU14


BALIK PULAU – Umno Bahagian Balik Pulau secara terbuka mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP demi menjaga kepentingan masyarakat nelayan pada PRU14 nanti.

Naib Ketuanya, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, itu satu-satunya tindakan yang boleh dilaksanakan rakyat sebagai balasan terhadap kerajaan negeri yang tidak mempedulikan soal masyarakat yang lain.

“Nelayan perlu jadi ejen, tolong kempen untuk kepentingan nelayan di Pulau Pinang dan masyarakat di negeri ini. Macam mana nelayan nak bagi kepada masyarakat Pulau Pinang ikan yang murah kalau hasil laut semakin kurang.

“Sebab itu para nelayan kena main peranan, bagi tahu kepada anak-anak dan kawan-kawan untuk selamatkan nelayan di Pulau Pinang daripada kerakusan kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan semasa Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Bahang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Telok Bahang, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri yang diterajui DAP mungkin tidak merasai kesusahan dan keperitan para nelayan kerana mereka tidak pernah menjadi nelayan.

“Dia duduk dalam bilik penghawa dingin, tak pernah mai lihat bagaimana nelayan pergi ke tengah laut gadai nyawa, selepas itu dia syok-syok pula buat tuntutan. Buat rumah berjuta-juta ringgit, sudah tentu saya dan nelayan tak boleh beli.

“Kalau nelayan tidak main peranan jadi kempen untuk nelayan-nelayan ini, maka percayalah makin hari kita akan hilang profesion nelayan. Tidak ada cara lain sebab  kerajaan negeri yang ada pada hari ini macam bisu, tak dengar dan tak peduli langsung kepada masyarakat.

“Nelayan bagi tahu jangan tambun tanah buat pulau, sudah-sudahlah. Tapi dia tak endah langsung sebab dia tahu nelayan ini pendapatannya orang-orang susah, dia bagi duit,” katanya.

Adun Telok Bahang itu berkata, disebabkan perkara itu maka setiap nelayan harus memainkan peranan dan berkempen untuk tumbangkan kerajaan negeri yang ada pada hari ini untuk kepentingan masyarakat nelayan.

“Jangan biar nasib nelayan dipermainkan. Kenapa profesion ini tidak dibela oleh kerajaan negeri? Kita bukan kira kaum, tanggungjawab kita mana-mana saja bangsa susah kita kena bantu dan kita kena tolong.

“Tidak layak jadi wakil rakyat kalau memilih kaum saja untuk membantu. Tetapi sayang kerajaan negeri pun sama, dia kata tak pilih kaum, tetapi dia pilih profesion. Dia pilih tauke besar, jutawan-jutawan dan jemput orang luar beli rumah banglo, tapi dia lupa nasib nelayan,” katanya.

Jelasnya, hanya kerajaan BN yang mampu membantu nelayan dan menyelesaikan segala masa berbangkit.

“Insya-ALLAH kerajaan BN akan bantu nasib nelayan dan akan perbetulkan semua salah dan silap. Di Pulau Pinang ini bukan Melayu punya, bukan Cina punya dan bukan India punya.

“Ini rakyat Pulau Pinang yang punya. Kita jatuh bersama dan kita bangun bersama,” katanya. - Sinar Harian

Biro IT UMNO Tangani Serangan Siber Pembangkang


Permatang Pauh - UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah lagi dalam perang siber dengan pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehubungan itu, jentera IT dan media sosial yang dilantik di setiap 191 Bahagian Parlimen perlu memainkan peranan aktif dalam menghadapi serangan balas pihak lawan.

"Barisan Nasional sebelum ini dituduh kalah dengan 'Red Bean Army' dalam alam maya. Sebab itu kita mahu jentera kita ini mendedahkan kepalsuan dan berita fitnah serta menangkis segala dakwaan tidak benar," katanya selepas Program Taklimat kepada Jawatankuasa Biro IT UMNO Bahagian Permatang Pauh, Bagan dan Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dengan tertubuhnya biro IT di semua kawasan kira-kira setahun setengah yang lalu, ia dapat menangkis segala tuduhan liar yang sering dilemparkan terhadap parti itu.

"Pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) lepas, antara fitnah paling utama ialah 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi BN. Ini disebutkan oleh Keadilan Daily dan terus tular dalam media sosial. Kemudian timbul isu kononnya dakwat pada jari boleh dikikis. Siapa yang buat tuduhan ini? Bukan BN.

"Justeru, dengan dengan penubuhan biro tersebut pada PRU14 ini, kita dapat melawan sebarang serangan siber dan menjelaskan kebenaran," katanya.

Selain itu, berhubung Rang Undang-Undang Akta Berita Palsu yang akan dibentangkan di Parlimen Mac ini, Ahmad berkata UMNO dan BN menyokong penuh akta berkenaan.

"UMNO dan BN tidak bankrap isu. Hanya orang yang bankrap isu dan penyebar fitnah sahaja tidak suka rang undang-undang ini. Kami (BN) ada banyak cerita yang hendak dikongsi dan sebarkan," katanya. - Bernama

Jualan Sentuhan Rakyat UMNO Terus Bantu Ringankan Beban Rakyat


Batu Kawan - Program Jualan Sentuhan Rakyat yang digerakkan oleh UMNO diseluruh negara membuktikan bahawa selain pihak kerajaan yang sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat, UMNO turut sama memainkan peranan di peringkat bawah dengan menggerakkan seluruh jenteranya di semua peringkat bahagian untuk sama-sama turun padang dan membantu rakyat.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pasar raya besar Giant itu diharap dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seterusnya mendorong para peniaga untuk turut sama menurunkan harga barangan keperluan di masa depan.

YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia turut bersama-sama memeriahkan lagi program Jualan Sentuhan Rakyat anjuran UMNO Bahagian Batu Kawan yang diadakan pada Ahad lalu di perkarangan rumah UMNO Bahagian Batu Kawan.

Turut bersama adalah Y.Bhg Datuk Mohd Noor Bin Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Saudara Mohamad Hilme Ibrahim, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan dan seluruh jentera UMNO Bahagian Batu Kawan dari semua sayap parti itu.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan, kira-kira 5000 pengunjung telah hadir dan rata-rata mereka menyambut baik program yang dilaksanakan dan berharap ianya dapat diteruskan serta diperluaskan lagi. 

Monday, 26 February 2018

Laluan Baharu Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Jimatkan Masa


PULAU PINANG 26 Feb. - Projek laluan baharu dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sepanjang tiga kilometer di Bayan Lepas di sini dapat memendekkan waktu perjalanan daripada 30 minit kepada hanya 10 minit.

Perkara itu diakui Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang turut memaklumkan projek tersebut merupakan salah satu usaha Kerajaan Persekutuan memberikan keselesaan kepada penduduk negeri ini.

Menurut beliau, jalan itu mula dibina  pada 2014 dan siap hujung tahun lalu sebelum mula dibuka awal tahun ini iaitu hanya mengambil masa kira-kira tiga tahun.

“Berbeza dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang, apabila mereka rancang untuk buat jalan pada 2014 juga, sampai sekarang pun masih belum mula lagi.

“Inilah manifestasi Kerajaan Persekutuan, kita akan kotakan janji walaupun mungkin sedikit terlewat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Jalan (Flag Off) Projek Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke LTAPP itu pagi ini. - Utusan Online








Lim Guan Eng Boleh Tanya SPRM Sendiri


GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya berurusan terus dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengetahui status terkini berhubung kes penjualan tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang terletak di Seberang Perai Selatan (SPS).

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, ia berikutan, kerajaan negeri yang diwakili Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin telah membuat laporan kepada SPRM pada April 2016.

“Saya harap Guan Eng tak terus menyindir SPRM dengan mendakwa pihak berkuasa itu lembab dalam melakukan siasatan dan menuduh SPRM berada di bawah telunjuk Umno hanya kerana mengheretnya ke mahkamah kerana kes rasuah.

“Umno dan Pengerusi Umno Pulau Pinang tidak bertanggungjawab ke atas siasatan yang dilakukan oleh SPRM,” katanya ketika dihubungi tadi.

Zainal Abidin turut berkata, tindakan Guan Eng membangkitkan semula isu tersebut dilihat tindakan terdesak bagi mengalihkan tumpuan rakyat ke atas skandal projek mega terowong dasar laut yang menjadi tumpuan ramai sejak sebulan lalu.

Minggu lalu, Guan Eng mendesak Umno Pulau Pinang menjelaskan isu penjualan tanah milik Perda yang didakwa dijual di bawah harga pasaran.

Guan Eng berkata, walaupun isu itu dibangkitkan dua tahun lalu, namun ia tidak diperjelaskan sehingga kini tentang harga penjualan tanah yang terletak berhampiran Kampung Tok Keramat di Sungai Bakap itu.

Tanah seluas 3.46 hektar di Mukim 9 di SPS tersebut didakwa dijual di bawah harga pasaran pada 2016 kepada syarikat swasta dengan harga RM1.43 juta.

Namun, mengikut daripada urusan pindah milik tanah berkenaan, penilaian yang dibuat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap tanah itu bernilai RM16.6 juta namun Perda menjual kepada SYT Prestige Sdn Bhd jauh lebih rendah dari penilaian itu iaitu 8.6 peratus dari harga pasaran dan menanggung kerugian RM15.2 juta. - Sinar Harian

Sunday, 25 February 2018

Projek Jejaskan Nelayan Pulau Pinang Ditentang


BALIK PULAU - Kerajaan Persekutuan tidak akan menyokong mana-mana projek pembangunan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang yang boleh menjejaskan kehidupan nelayan di negeri ini.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan nasib kebanyakan nelayan di sini masih tidak terbela sepenuhnya.

Sebagai contoh, beliau berkata, isu tebus tanah yang berlaku di beberapa kawasan termasuk di sekitar Gurney Drive, Tanjung Bunga dan Tanjung Tokong sejak beberapa tahun lalu sehingga kini masih menimbulkan persoalan.

“Pampasan yang mereka dapat hasil tebus tanah tanah itu cuma RM15,000...sekali sahaja. Itu pun dua hari sebelum raya kerana nelayan-nelayan ini memang nak pakai duit. Jadi, terpaksa ambil sahaja.

“Tapi, lepas ini apa yang mereka hendak makan? Sekarang pun hasil ikan di kawasan tersebut semakin berkurangan dan kawasan pembiakan ikan juga mulai hilang,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teluk Bahang, hari ini. - Utusan Online

Friday, 23 February 2018

Tengku Adnan – Senarai Calon UMNO Untuk PRU14 Telah Diserah Untuk Perhatian Presiden


PUTRAJAYA – Senarai calon yang bakal mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah diserahkan kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata Najib dan Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti sedang dalam rangka bertemu semua ketua bahagian UMNO bagi memperhalusi senarai calon itu.

“Ini untuk memastikan calon yang diberi adalah yang disukai rakyat, bukannya semata-mata pilihan parti atau individu tertentu,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan semasa ditemui pada program jualan ikan separuh harga anjuran UMNO Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan senarai berkenaan, peratusan calon muda dan berpengalaman adalah seimbang.

Berhubung muka lama yang pernah tewas  dalam PRU sebelum ini tetapi berhasrat  bertanding semula pada PRU14, Tengku Adnan berkata  peluang masih terbuka namun, mereka perlu mengemukakan alasan bagi kekalahan lalu dan bagaimana memenanginya pada PRU14.

“Mereka boleh mempromosi diri sendiri tetapi perlu bersedia menerima hakikat sekiranya tidak dipilih kerana tindakan mempromosi dibuat mereka sendiri, bukannya oleh parti,” katanya.

Tengku Adnan berkata UMNO mempunya mekanisme tersendiri dalam menentukan calon pilihan raya selain tapisan oleh agensi tertentu seperti polis, Jabatan Insolvensi dan Suruhanraya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC yang dilihat terkedepan dalam mengumumkan calon PRU14 bagi kawasan tertentu berbanding UMNO, Tengku Adnan berkata ia mungkin disebabkan jumlah calon dan kerusi bagi parti terbabit adalah sedikit berbanding UMNO.

“Mereka boleh umum tetapi kita akur kepada saranan presiden agar ia tidak dilakukan sehingga pengumuman rasmi calon dibuat apabila tiba masanya,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Mengenai program jualan ikan separuh harga, beliau berkata sebanyak tiga tan ikan termasuk pelaling, kerisi dan cencaru dijual kali ini.

Selain itu, sebanyak 750 ekor ayam turut dijual dengan harga RM5 sekilogram, katanya.

Parlimen Penggal Keenam Bersidang 5 Mac Ini


Disebalik pelbagai spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Parlimen Malaysia hari ini mengeluarkan jadual persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 5 Mac ini.

Persidangan kali ini dijangka mengambil masa 20 hari iaitu sehingga 5 April.

Istiadat pembukaan Parlimen penggal keenam oleh ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung pada hari pertama iaitu Isnin, 5 Mac 10 pagi.

Setiausaha Bahagian komunikasi Korporat Parlimen Malaysia, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed mengingatkan tentang peraturan-peraturan membuat liputan di Parlimen dengan mematuhi kod etika pemakaian yang telah ditetapkan.

“Hanya seorang sahaja jurugambar yang dibenarkan membuat photo-opps untuk lima minit yang pertama di dalam dewan semasa Yang di-Pertuan Agong bertitah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Persidangan pada hari pertama masih di tempat yang sama iaitu blok utama bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.



“Turut diingatkan pada media hendaklah memperbaharui perakuan media yang telah tamat tempoh di Jabatan Penerangan Malaysia.

“Semua petugas media hendaklah mematuhi etika pemakaian iaitu lounge-berwarna gelap, bertali leher dan berkasut untuk lelaki.

“Bagi wanita pula hendaklah berbaju kurung, blouse berlengan panjang, skirt labuh atau di bawah paras lutut, atau lain-lain pakaian yang kemas,” ujarnya.

Bagi Dewan Negara persidangan akan berlangsung selama 10 hari iaitu dari 16 April hingga 30 April.

Pertumbuhan Ekonomi 5.9 Peratus Kejayaan Kerajaan Dalam ETP


Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.9 peratus membolehkan kerajaan mempelbagaikan usaha dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar peratusan itu adalah yang tertinggi di dunia hasil daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan.

Antara program terbaru yang diperkenalkan, Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0.

“Apabila asas pendapatan kita kukuh, bukan sahaja golongan B40, malah M40 juga mendapat tempias dan kita sudah mengumumkan pada pembentangan Bajet 2018, cukai pendapatan mereka dikurangkan sebanyak dua peratus.

“Dalam bidang pendidikan pula, setiap pelajar disubsidi RM8,900 setahun dalam usaha kita memberikan pendidikan yang percuma. Kerajaan perkenalkan Program Jualan Sentuhan Rakyat, Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0, ini antara inisiatif kerajaan tangani isu kos sara hidup,” katanya pada sesi perkongsian #Bajet2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Khamis.

Tambah Najib, setiap langkah yang diambil adalah dengan mengambil kira tempoh jangka panjang iaitu 30 tahun akan datang.

Langkah tersebut termasuklah keputusan tidak popular iaitu memperkenalkan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi demi kesejahteraan rakyat.

“Banyak keputusan sukar yang saya terpaksa lakukan, sebagai contoh insiden Al-Maunah, MH370, Lahad Datu dan banyak lagi tetapi itu tidak perlu saya ceritakan di sini, saya simpan dahulu untuk memoir saya.

“Jangan risau sebab mandat yang anda berikan sejak tahun 2009, saya akan lakukan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh fikir masa sekarang tetapi kena fikir masa 30 tahun akan datang, saya percaya kita akan jadi negara maju dan berdaya saing,” katanya.

Katanya, pemansuhan tol di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur sebagai bukti jelas keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Saya tidak percaya kita kena membayar tol setiap hari. Kalau di Lebuh Raya Utara Selatan atau Karak tidak mengapalah sebab bukan kita guna hari-hari. Macam ada pemimpin terdahulu, beliau memang suka tol tetapi saya tidak suka.

“Sebab itu, kita bina Projek Lebuhraya Pan Borneo tiada tol. Saya beri jaminan apa sahaja yang boleh saya lakukan, saya akan hapuskan tol. Ini semua masalah legasi. Saya akan lihat semula keputusan (pemimpin) terdahulu yang membebankan rakyat termasuk isu tol,” katanya.

Thursday, 22 February 2018

“Mahu Hapuskan GST.. Tarif Air Di Pulau Pinang Pun Naik Empat Kali” – Rafizal


BUKIT BENDERA, 22 Feb – “Kalau tarif air di Pulau Pinang pun sudah empat kali dinaikkan, apakah Guan Eng fikir rakyat khususnya pengundi boleh percaya janji untuk hapuskan GST yang mana dengan penghapusan tersebut kerajaan akan kehilangan puluhan billion pendapatan,” bidas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng kononnya jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) maka GST akan dihapuskan dalam tempoh 100 haru pertama mengambil alih kuasa dan memulihkan Cukai Jualan dan Khidmat (SST).

Jelas Rafizal, jika disemak semula janji pembangkang beberapa pilihan raya lalu pelbagai janji yang enak-enak didendangkan tetapi apakah semua janji tersebut ditunaikan.

“Di Pulau Pinang sendiri apa caj yang dikurangkan untuk bantu rakyat? Setakat ini yang ada hanyalah caj air dinaikkan, caj parking, harga rumah melambung tinggi, peniaga kecil dihalau, caj katil dan pelbagai lagi. Itu belum lagi janji hapuskan tol Sungai Nyiur…

“Usahlah temberang nak bantu rakyat. Apa yang dia betul-betul bantu? Yang dia sibukkan nak buat terowong dasar laut di mana beratus juta sudah hangus untuk buat kajian.  Rakyat dapat untung apa?  Sekarang dia janji nak hapuskan GST… dia nak tipu siapa? katanya kepada UMNO-Online.

Justeru tegasnya, Pemuda UMNO Pulau Pinang mencabar Guan Eng untuk terlebih menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya yang lalu sebelum mula menyulam janji manis yang baru semata-mata mahu membeli jiwa rakyat.

Tambah beliau lagi, umum mengetahui bahawa pembangkang adalah pakar dalam membuat janji manis dan apabila hasrat mereka tercapai maka seribu dalih akan digunakan bagi mengelak janji tersebut ditunaikan.

“Sebab itulah dulu bila sudah berjaya menawan Selangor, mereka mula canang bahawa manisfesto yang dibuat bukan satu akujanji.

“Mereka harus ingat, rakyat tidak akan mudah lupa dengan segala pembohongan pembangkang. Janji Pembangkang adalah janji untuk dimungkiri,” sindir Rafizal. – MediaUMNO

'Tun M Dan Mukhriz Tak Kisah PPBM Terkubur Asalkan Menang PRU14' - AzwanBro


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz lebih rela melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terkubur asalkan mereka berdua menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, dua individu itu kini dalam keadaan terdesak untuk menang dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politik masing-masing.

"Dr Mahathir dan Mukhriz dalam keadaan terdesak, maka tidak hairanlah jikalau mereka bertanding menggunakan logo DAP untuk meraih undi kaum Cina oleh sebab kegagalan untuk meraih sokongan pengundi Melayu. Dr Mahathir dan Mukhriz tak kisah PPBM terkubur asalkan menang PRU-14.

"Saya setuju dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa kedua-dua mereka akan bertanding atas tiket DAP pada PRU ke-14 nanti.

"Hal ini menyebabkan ketidakpuasan hati ramai pihak di dalam parti itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir tidak lagi popular di dalam PPBM," katanya dalam satu kenyataaan di sini hari ini.

Sebelum ini Mohd Puad mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz bakal bertanding atas tiket DAP pada PRU14.

Jelas Mohd Puad, tindakan itu dikatakan berikutan PPBM gagal mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan hendak ditandingi.

Tambahnya, hasrat Pengerusi dan Timbalan Presiden PPBM itu mewujudkan satu usaha dalaman oleh kelompok 'proMahathir' untuk mensabotaj pendaftaran parti berkenaan dengan menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam pada itu tegas Khairul Azwan, situasi itu mewujudkan sebuah kerjasama sulit antara Dr Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi membolehkan Pengerusi Pakatan Harapan itu berpayungkan logo DAP pada PRU akan datang.

"Saya amat yakin Dr Mahathir akan bertanding menggunakan logo DAP kerana terdesak.

"Kini semua pihak tahu bahawa Dr Mahathir merupakan seorang yang tidak berpegang kepada apa-apa prinsip kerana dia sentiasa percaya matlamat menghalalkan cara, walaupun cara tersebut merupakan sebuah pengkhianatan kepada ahli dan PPBM sendiri," tegasnya.

Dr Mahathir sebelum ini memberitahu, sudah mempunyai idea dan perancangan tentang apa yang perlu dilakukan jika berjaya membentuk kerajaan pada PRU14. - Astro Awani

Perdana Menteri Minta Rakyat Terus Yakin Dengan Kerajaan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat terus percaya dan yakin dengan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya hendak tuan-tuan yakin bahawa kita adalah kerajaan yang ada perancangan dan komitmen kepada rakyat, dan kita berupaya melaksanakannya.

“Kami juga adalah satu kerajaan yang stabil dan bersatu. Apa yang saya minta pada rakyat hanyalah untuk terus percaya dan yakin dengan kerajaan,” kata beliau di sesi perkongsian Bajet 2018 bersama rakyat di Pusat Perubatan UKM (HUKM) di ibu negara.

Perdana Menteri berkata, rakyat sendiri dapat melihat keberkesanan dasar-dasar yang diambil oleh kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

“Forum Ekonomi Dunia (WEF) meletakkan Malaysia sebagai negara ke-23 paling berdaya saing di dunia.
  
“Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga memuji bahawa ekonomi Malaysia kini bergerak di landasan yang betul dan dasar kerajaan menghasilkan keputusan positif, termasuklah beberapa keputusan berani yang diambil kerajaan,” kata Datuk Seri Najib sambil merujuk kepada keputusan “kurang popular” seperti melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, hasil pendapatan GST berjaya mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan, sekaligus membolehkan kerajaan memberi lebih banyak insentif kepada rakyat di semua peringkat.

Tambahnya, kutipan cukai seperti GST juga membantu memastikan kelangsungan ekonomi negara.

“Daripada 14 juta orang bekerja, yang bayar cukai cuma dua juta orang saja. Dua juta orang ini menampung 30 juta rakyat Malaysia. Kita tidak boleh bertahan sebegini, tidak cukup,” katanya.

Tambahnya, ini ditambah lagi dengan pemberian pelbagai subsidi langsung dan tidak langsung, termasuk subsidi RM8,900 kepada setiap murid di sekolah rendah dan menengah.

Beliau menambah, kesihatan ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kini diakui oleh beberapa firma penarafan antarabangsa termasuk Fitch Ratings dan Moody’s.

“Kalau ada orang kata kita ini kononnya muflis, kita negara dalam kategori (penarafan) A. Di Eropah, negara kategori B adalah negara seperti Itali, Sepanyol dan Rusia.

“Di ASEAN, hanya Singapura dan Malaysia saja dalam kategori A,” katanya.

Datuk Seri Najib berkata, masa depan negara di bawah kerajaan kini terjamin.

“Percayalah, kita adalah banyak perancangan besar untuk Malaysia. Kita adalah keretapi berkelajuan tinggi, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT, Lebuhraya Pantai Timur, Bukit Kayu Hitam, Pan Borneo, TRX, Bandar Malaysia dan pelbagai lagi.

“Semua ini akan direalisasikan dalam 5 ke 6 tahun akan datang, insyaAllah,” kata Perdana Menteri. - Astro Awani

Wednesday, 21 February 2018

Dira Tenang Atasi Dyana Dalam PRU14: Calon Jual Rupa?


Program bicara 'Anda Tanya Mereka Jawab' yang disiarkan oleh Sinar Harian Online secara langsung di Facebook semalam jelas memperlihatkan kematangan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dira Abu Zahar menangani soalan demi soalan yang dilontarkan oleh moderator program yang membicarakan isu berkenaan 'PRU14 : Calon Jual Rupa'.

Bersama-sama dalam program tersebut adalah Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP, Dyana Sofea Mohd Daud yang bergandingan bersama Dira sebagai ahli panel.

Sepanjang program tersebut berlangsung jelas kelihatan Dyana yang kurang selesa dan sering tersasar daripada persoalan yang dibangkitkan.

Manakala Dira dilihat tenang dan berjaya mengupas serta menjawab persoalan dengan pengisian yang mudah difahami malah beliau turut mendapat pujian rata-rata penonton yang mengikuti program tersebut secara langsung.

Dira Abu Zahar dalam hujahnya berkata, rupa adalah salah satu bentuk keyakinan kepada persepsi awal masyarakat untuk dilihat siapa wakil dipilih.

"Tapi pada masa sama juga adalah kredibiliti untuk buat kerja, untuk mempersembahkan diri dari segi kerjanya," katanya.

Menurutnya, isu paras rupa bukan hanya dibincangkan pada masa kini, bahkan sejak zaman Nabi Yusuf lagi.

"Nabi Yusuf dikagumi kerana paras rupa begitu menarik, maka diberi kepercayaan sebagai pemimpin, tidak terkecuali juga tokoh-tokoh agama terkemuka yang raut wajahnya baik, diangkat sebagai pemimpin tertinggi," katanya.

Dira kemudiannya berpandangan memiliki rupa paras sahaja tidak mencukupi sekiranya ia tidak disertai dengan perwatakan serta keperibadian yang baik khususnya sebagai orang Islam.

Sementara Dyana pula membangkitkan soal polisi yang ditawarkan.

 "Apakah polisi yang diperjuangkan? Apa idea yang dibawa? Adakah dia mudah didekati, sombong atau? Ini semua rakyat akan nilai.

"Mungkin rupa kurang cantik, tapi orang suka dia sebab apa yang dia tawar, jadi rupa itu membawa sedikit faktor, tetapi penampilan diri lebih penting daripada rupa fizikal," katanya.

Mengambil contoh ketampanan dimiliki Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, Dyana Sofea berkata, pada awalnya pemimpin itu menjadi popular bukan kerana rupa paras semata-mata tetapi berkait rapat dengan polisi ditawarkan.  

Ikuti video penuh di bawah ;

Tuesday, 20 February 2018

Azmin Wajib Jawab, Berhenti Salahkan UMNO – Shahril


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali perlu berhenti menyalahkan UMNO dalam isu tanah di Ijok sebaliknya beliau perlu menjawab dengan jelas persoalan yang ditimbulkan oleh orang ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata sehingga hari ini Azmin masih belum menjawab secara terus persoalan yang ditimbulkan, sebaliknya beliau menggunakan pegawai-pegawainya untuk menjawab isu ini.

Menurut beliau isu berkenaan adalah isu serius yang melibatkan kepentingan 987 orang peneroka khususnya dan kepentingan rakyat Selangor kerana melibatkan transaksi jual beli tanah lebih RM1.18 billion.

“Tindakan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali yang melakukan penyelesaian dengan syarikat-syarikat pemaju berkaitan sebelum ianya didengari di Mahkamah Persekutuan tanpa alasan yang kukuh adalah sangat meragukan.

“Peneroka-peneroka juga sepatutnya mendapat pampasan yang lebih tinggi daripada syarikat-syarikat pemaju tersebut sesuai dengan harga tanah semasa bukannya pampasan dengan nilai yang sama dijanjikan pada 20 tahun yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi jika ini semua salah UMNO, Azmin sepatutnya menggunakan peluang berhujah di Mahkamah Persekutuan bagi pihak peneroka, bukannya memberi semula tanah kepada syarikat-syarikat pemaju tersebut yang jelas menerima keuntungan besar daripada keputusan kerajaan Selangor melakukan penyelesaian bersama-sama.

“Adakah ini kerana “kroni” tersebut kini sudahpun bersama-sama pembangkang seperti yang didedahkan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini?

“Saya menggesa Azmin Ali untuk menjawab isu ini dengan telus tanpa berselindung melalui pegawai-pegawai beliau. Saya juga berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan rapi sekiranya ada berlaku penyalahgunaankuasa berkaitan isu ini,” katanya. - Umno Online

Monday, 19 February 2018

Tidak Benar Tiada Subsidi Untuk Rakyat, Tohmahan Semata – Najib


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia seharusnya  tidak terpengaruh dengan  tuduhan bahawa kerajaan langsung tidak menyediakan subsidi untuk rakyat kerana tohmahan tersebut adalah tidak benar sama sekali, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menegaskan bahawa kerajaan  membelanjakan peruntukan yang banyak untuk subsidi dalam pelbagai  sektor, perdana menteri berkata beliau mendengar seruan meminta kerajaan menyediakan subsidi untuk rakyat mengurangkan kos sara hidup.

“Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak, dan banyak lagi.

“Selain subsidi untuk barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan. Kerajaan juga memperuntukkan subsidi kesihatan yang tinggi setiap tahun,” katanya menerusi catatan di blog rasmi  www.najibrazak.com  beliau, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan sebanyak RM26.5 bilion disediakan untuk penjagaan kesihatan pada 2018 meskipun kutipan dalam sektor itu hanya RM600 juta, menjadikan perbelanjaan selebihnya ditanggung penuh kerajaan.

Sejak 2012, beliau berkata yuran wajib dikecualikan sepenuhnya di sekolah kerajaan dan kerajaan turut membiayai kira-kira 90 peratus daripada yuran pengajian universiti.

“Contohnya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885. Namun selepas subsidi, pelajar hanya perlu membayar yuran RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.

“Ini satu lagi contoh bagaimana subsidi pendidikan disalurkan,” katanya.

Bagi sektor perumahan, Najib berkata kerajaan menyediakan subsidi dalam bentuk bantuan deposit iaitu Skim MyDeposit dan subsidi rumah kos rendah seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua Felda, Rumah Bina Negara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan banyak lagi.

TPM Zahid Beri Bayangan PRU14 Sebelum Aidilfitri


TELUK INTAN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mungkin diadakan sebelum Aidilfitri tahun ini.

“Kita ada tiga raya…raya Cina baru lepas…sebelum raya haji, kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa, kita ada satu lagi ‘raya besar’,” katanya ketika berucap pada majlis Semarak Mahabbah di Sekolah Agama Maahd Al-Islah di Sungai Manik di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan pengetua sekolah agama itu Agus Lokman Sulam.

Pada November lepas, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa PRU14 bakal diadakan selepas Tahun Baru Cina tahun ini.

Tarikh mandat kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada 24 Jun 2018 dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyentuh tentang pentingnya meninggikan martabat agama Islam berbanding perkara lain termasuk politik.

“Atas nama agama, kita harus memberikan noktah dan meletakkan titik penamat kepada perbedaan minda, perbedaan pemikiran serta sikap kerana pendirian agama cukup tinggi berbanding perkara lain,” katanya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM680,000 bagi menambah baik infrastruktur di sekolah berkenaan.

Peruntukan itu membabitkan kerja-kerja menambah baik dewan sekolah berjumlah RM100,000, membina gelanggang futsal berbumbung sebanyak RM300,000 serta RM280,000 untuk pemasangan tangki air dan pili bomba.

Sunday, 18 February 2018

Jahara Bidas LGE Guna Kroni Tolak Usul Tempoh Kuasa KM


Tindakan Lim Guan Eng yang cuba membawa cadangan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar boleh dipegang selama dua penggal memperlihatkan yang beliau takut hilang kuasa seperti yang dipegang selama ini.

Menurut Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid, ia bukan perkara baharu kerana sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sendiri pernah membawa usul yang sama dalam DUN.

Namun ia ditolak mentah-mentah kerana semua pimpinan di peringkat jawatankuasa dikuasai kroni Guan Eng.

“Kita memang tahu yang Guan Eng takut hilang jawatan, sekarang dia sangat berkuasa, kalau ada apa-apa cadangan daripada BN sekalipun kalau ada yang tak kena dengan merek, usul itu akan ditolak.

“Jadi jika mereka (PH) nak bawa perkara ini dengan serius, kami menyokong untuk penambahbaikan, ” katanya kepada BNBBC. my portal pada Sabtu.

PH dikatakan akan membincangkan mengenai had tempoh perkhidmatan ketua menteri dan menteri besar di negeri yang dinaungi mereka.

Guan Eng yang dipetik portal The Malaysian Insight bagaimanapun berkata perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Majlis Presiden terlebih dahulu.

Membidas kenyataan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad yang menyatakan tiada keperluan untuk meletakkan had kuasa kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar, Jahara berkara ia suatu kenyataan yang tidak tepat.

“Memang jawatan Ketua Menteri tidak sama dengan Perdana Menteri yang dikatakan boleh menguasai SPRM dan sebagainya, tapi cuba lihat Guan Eng berapa banyak dia punya salahguna kuasa.

“Tapi bukankah dia tetap gunakan kuasanya yang ada untuk menyelamatkan dirinya daripada dikenakan sebarang tindakan? ” soalnya lagi.

Saturday, 17 February 2018

Namewee, Jangan Ikut Perangai Anjing Jalanan


KUALA LUMPUR: Pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee, dinasihatkan jangan mengikut perangai anjing jalanan yang suka menyalak untuk mendapatkan perhatian.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata tindakan penyanyi itu memuat naik klip video terbarunya, disifatkan menghina rakyat Malaysia terutama orang Melayu beragama Islam di negara ini.

"Sempena tahun anjing ini, saya ingin menasihatkan Namewee supaya jangan ikut perangai anjing jalanan untuk menarik perhatian, jadilah anjing yang diajar boleh menyalak apabila tuannya diganggu.

"Banyak anjing gila sudah ditangkap, kenapa pula kita beri peluang kepada anjing seperti Namewee ini terlepas, saya merayu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap Namewee secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Razlan berkata, ramai yang mengikuti karya Namewee tahu bagaimana perasaan beliau terhadap Malaysia dan kebencian penyanyi itu terhadap orang Melayu beragama Islam di negara ini.

Katanya, karya yang memperlekehkan dan menghina agama mahupun bangsa perlu dihentikan kerana ia hanya akan mencetuskan perasaan benci dalam kalangan masyarakat dan akhirnya meruntuhkan keharmonian kaum yang dibina selama ini.

"Saya percaya perbuatan jijik dan tidak bertanggungjawab Namewee ini tidak mendapat sokongan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, tidak ada rakyat Malaysia yang mahukan perasaan kebencian dalam diri mereka.

"Kita akui setiap video Namewee mempunyai jumlah penonton yang berjuta dan beliau sengaja mempergunakan isu sensitif untuk membuat beliau terkenal serata dunia.

"Tidak mustahil ia pula akan menjadi ikutan kepada orang lain untuk menghina bangsa lain semata-mata untuk mempopularkan diri," katanya.

Namewee memuat naik klip video terbarunya sempena Tahun Baru Cina bertajuk 'Like A Dog', yang memaparkan individu memakai topeng anjing melakukan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Berita Harian

Friday, 16 February 2018

Terowong: Pakar Persoal Kerajaan DAP Pulau Pinang



KUALA LUMPUR - Beberapa pakar kejurutera­an tempatan mempertikai­kan rancangan kerajaan DAP Pulau Pinang membina tero­wong dasar laut menghubungkan Bagan Ajam ke Persiaran Gurney yang disifatkan bukan sahaja membazir bahkan memberi kesan teruk kepada alam sekitar.

Malah, pakar-pakar terlibat turut hairan dengan rancangan berkenaan kerana projek terowong itu hanya akan menambahkan lagi kesesakan di bahagian pulau dan bukannya mengurangkan lalu lintas seperti mana dakwaan pemimpin kerajaan DAP negeri.

Pakar kejuruteraan terowong Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Dr. Othman Che Puan menegaskan, kerajaan negeri sepatutnya memastikan kapasiti penggunaan jambatan kedua iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang kini pada tahap 50 peratus ditingkatkan dan bukannya membina projek berke­naan.

Beliau yang juga Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM berkata, pembinaan terowong dasar laut adalah rumit malah banyak projek seumpamanya di luar negara bukan sahaja mengambil masa yang lama untuk disiapkan malah menelan perbelanjaan yang besar berbanding membina jambatan.

“Saya bagi contoh pembinaan terowong dasar laut di Istanbul yang menghubungkan sebelah Ero­pah dan Asia bandar raya itu, walaupun jaraknya hanya lima kilometer (km), lebih pendek da­ri­pada apa yang hendak dibina di Pulau Pinang namun ambil masa lima tahun, kira-kira setahun untuk setiap km.

“Justeru, bukankah lebih baik kerajaan negeri meningkatkan per­khidmatan pengangkutan a­wam seperti feri dan bas, selain be­kerjasama dengan syarikat pe­nerbangan tempatan bagi menambah bilangan penerbangan ke negeri tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini yang menyenaraikan empat sebab ke­napa tidak perlu membina tero­wong dasar laut di Pulau Pinang termasuk pemberian tender se­dekad lebih awal kepada kontraktor.

Menurut Othman, kerajaan negeri sepatutnya menyediakan pelbagai alternatif bagi meng­urangkan kesesakan di Pulau Pinang bukan hanya bergantung sepenuhnya dengan membina terowong dasar laut.

“Jika memang perlu ada laluan ketiga dan keempat untuk masuk ke Pulau Pinang ia perlu mengambil kira jenis laluan tersebut sama ada jambatan atau terowong, bergantung pada peruntukan kewa­ngan dan kesan atau impak terhadap ekosistem,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pe­ran­cangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata, Ketua Menteri Pulau Pi­nang, Lim Guan Eng perlu menyediakan analisis manfaat kos sebelum meneruskan cita-cita membina terowong dasar laut itu.

Katanya, analisis me­rangkumi kos sosial dan kos alam sekitar itu bagi memastikan pembi­naan laluan ketiga itu rele­van dengan keperluan semasa dan jangka panjang sekurang-ku­rangnya untuk tempoh 20 tahun lagi.

Tambah beliau, analisis itu juga perlu mengenal pasti permukaan bentuk muka bumi negeri tersebut kerana tanah di Pulau Pinang tidak mempunyai sifat je­le­ketan atau cohesive iaitu tidak melekat dan ini tidak sesuai untuk digali bagi tujuan pembinaan terowong.

“Cerunnya ter­di­ri daripada pa­sir berlodak bercampur batu-ba­tu besar dan ini menyebabkan binaan mudah gelincir.

“Walaupun analisis ini akan menelan belanja yang tinggi tetapi kerajaan negeri perlu menye­dia­kannya kerana sudah tentu penduduk Pulau Pinang tidak mahu kemudahan itu akan membe­bankan mereka pada masa akan datang,” katanya. - Utusan Online

Thursday, 15 February 2018

Selamat Tahun Baru Kepada Semua Masyarakat Cina Di Malaysia


Prime Minister’s Message for Chinese New Year 2018

Salam 1 Malaysia.

As we bid adieu to the Year of the Rooster and prepare to usher in the Year of the Dog, I would like to take this opportunity to wish everyone who is celebrating – a Happy and Prosperous New Year.

This celebration is an important celebration for the Chinese community with thousands of years of history, a celebration so rich in tradition that begins with the journey back home for the all-important reunion dinner with the elderly and family on the eve of the New Year.

Great emphasis is placed on the tradition of reunion during this festive period as it continues to embed and cultivate not just the values of filial piety and respect in the next generation, but also strengthens the relationship and bond of one with friends and family.

This tradition, which has been practised from generation to generation for thousands of years, is indeed a respectable custom.

It symbolises the concept of coming together as one.

In Malaysia, religious and cultural festivals have become joyous occasions not just for any segments of the society, but they are celebrated by all.

Perhaps it is the food, the culture and the laughter that unite us in festive celebrations like the New Year.

But I believe it has been ingrained in us since Independence. We live harmoniously as one regardless of race and creed. It has become a way of life and this bond between us is what I believe to be the true spirit of 1Malaysia.

This celebration is a perfect reminder of the many cultures and faiths that make us who we are as Malaysians. Our vast array of traditions and perspectives, our melting pot is what makes us unique, keeping us fresh and dynamic.

Indeed Malaysia is home to many, and all have played important role in building this great nation especially our Chinese brothers and sisters as fellow sons and daughters of Malaysia. Their tremendous contribution is evident in every part of the country be it culturally or economically.

To this end, my heartfelt gratitude goes to the nation-building role played by all Malaysian Chinese since Independence.

I am committed to ensure that no Malaysians will be left behind, that the future of our children will be better than ours and that we will grow stronger and together as one.

I hope that this Year of the Dog will bring prosperity and good health to you and your families and may we continue to be proud and committed to Negaraku, a country that we love.

Xin Nian Kuai Le !