Tuesday 6 June 2017

Penjualan Aset Untuk Tampung Kos Operasi ! Tindakan Kerajaan Negeri P.Pinang Di Persoal


1.Kami menghargai reaksi dari YAB Lim Guan Eng terhadap kenyataan kami sebelum ini yang mengesahkan Kerajaan Pulau Pinang secara berterusan menaikkan kos operasi kerajaan negeri sejak DAP mengambil alih pentadbiran pada 2008. Kos operasi bagi tahun 2017 ialah 500 peratus daripada apa yang dibelanjakan pada 2008.

YAB Guan Eng turut mengakui perbelanjaan pentadbiran serta kos operasi yang tinggi adalah satu keperluan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan.

2. Kita juga turut maklum, bagi tempoh yang sama, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan hanya meningkat 35 peratus berbanding 500 peratus di Pulau Pinang.

3. Bagaimanapun, YAB Guan Eng tidak menjawab bagaimana Kerajaan Pulau Pinang mampu menjana pendapatan bagi menampung kenaikan 500 peratus bagi perbelanjaan tahunan namun masih mencatatkan lebihan.

4. Adakah ia dana dari Kerajaan Persekutuan, atau dari cukai yang dikenakan terhadap penduduk Pulau Pinang sebanyak lima kali ganda melalui kenaikan cukai penilaian harta, denda dan menaikkan kadar bekalan air empat kali ganda? Atau, adakah ia hasil dari peningkatan jualan tanah serta aset kerajaan negeri?

5. Jika pendapatan tambahan itu adalah dari penjualan tanah serta aset kerajaan negeri, mengapa Kerajaan Pulau Pinang tidak boleh menjual sebidang tanah lagi yang bernilai RM1 bilion bagi mengelak meminjam dari Bank EXIM di China yang akan turut melibatkan kos faedah?

Adakah dengan menjual aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan bagi menampung kenaikan perbelanjaan operasi tahunan yang besar boleh dianggap sebagai satu tadbir urus yang baik bagi jangka masa panjang?

6. Adakah kerana sekarang ini tiada lagi tanah kerajaan negeri yang bernilai untuk dijual sebagaimana dinyatakan oleh Exco Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow baru-baru ini?

7. Kami juga inginkan pengesahan dari YAB Guan Eng sama ada apa yang dinyatakan YB Chow kepada The Edge pada 22 Julai 2016 adalah tepat dengan menyatakan kos projek Pelan Induk Pengangkutan Awam (PMTP) Pulau Pinang telah meningkat dari RM27 bilion kepada RM46 bilion, yang menyaksikan peningkatan sebanyak RM19 bilion.

8. Jika ia benar, bagaimana Kerajaan Pulau Pinang akan menampung kenaikan RM19 bilion itu? Adakah ia dari pinjaman daripada Bank EXIM atau dari bank lain?

Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional
Putrajaya
3 Jun 2017

0 comments:

Post a Comment