Thursday 20 July 2017

DAP Tolak Pemilihan CEC , Satu Kecelaruan Terancang Ketepikan Peraturan Akta Pertubuhan


Sejak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengarahkan parti DAP supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu menerusi pemilihan semula pada 29 September 2013 tidak sah banyak pihak ternanti-nanti apakah tindakan yang bakal diambil oleh parti tersebut.

Banyak pihak telah tampil dengan pandangan masing-masing termasuklah dari kalangan ahli DAP sendiri yang bersetuju dengan keputusan pihak ROS supaya pemilihan diadakan semula memandangkan pemilihan sebelumnya tidak sah kerana gagal mengikut perlembagaan parti dan peraturan Akta Pertubuhan.

Walau bagaimanapun terdapat kecelaruan pandangan daripada kalangan pemimpin DAP sendiri sehingga menimbulkan kekeliruan dan keresahan ahli DAP di peringkat akar umbi.

Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh MalaysiaKini , Teresa Kok misalnya dalam kenyataannya sebelum ini berkata “Kami tidak mengatakan bahawa kami tidak akan mengadakan pemilihan semula.

“Adakah kita mempunyai pilihan untuk tidak mengadakan satu pemilihan?

“Jika mereka (RoS) membatalkan pendaftaran kita, bukankah itu lebih buruk?”

Teresa menegaskan bahawa DAP, bagaimanapun, perlu menerima surat rasmi daripada ROS sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Sekiranya anda mahu wujud, anda mesti mengikut aturan dan peraturan, kami (DAP) tidak takut dikritik oleh orang lain,” kata Teresa yang juga MP Seputeh, sambil menambah, sekiranya DAP runtuh, ia tidak akan memanfaatkan sesiapa pun.

Turut membayangkan perkara yang sama adalah Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang turut menyuarakan kemungkinan pemilihan semula diadakan. 

Lebih memeranjatkan adalah kenyataan daripada Timbalan Setiausaha DAP Ca­wangan Pantai Sepang Putra, R. Thaneswaran yang mendakwa pemilihan CEC lalu dimanipulasi oleh segelintir pihak tertentu untuk menyingkirkan pemimpin yang tidak sebulu dengan mereka.

“Hal ini kerana Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng menjadikan parti ini seolah-olah milik keluarga mereka.

“Kami menggesa DAP mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan dengan menggunapakai senarai perwa­kilan pada 2012,” katanya dalam sidang akhbar di Sepang hari ini.

Menurut Thaneswaran, pihaknya sudah tiga kali menghantar surat kepada kepemimpinan DAP agar pemilihan CEC diadakan semula bagi memboleh­kan para perwakilan memilih 20 ahli jawatankuasa secara telus dan sah.

Namun katanya, sehingga kini tiada maklum balas me­ngenai perkara itu diterima sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi.

“Jika Kit Siang dan Guan Eng telus, adakan semula pemilihan. Jangan takut melainkan anda bimbang akan kalah,” katanya.

Sementara itu, Thaneswaran mendakwa ahli-ahli DAP sudah tidak menyokong kepemimpinan Kit Siang dan Guan Eng ke­rana bersikap diktator.

“DAP sudah jadi parti anak-beranak. Misalnya kes mahkamah dihadapi Guan Eng, sehingga kini mana ada tindakan oleh parti terhadapnya. Hal ini disebabkan beliau adalah anak Kit Siang.

“Kedua-dua individu ini perlu meletak jawatan kerana mereka tidak layak untuk memimpin dan berada dalam DAP,” ujarnya.

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas sudah tentulah keputusan ROS adalah tepat khususnya dalam memastikan isu membabitkan pemilihan sebegini mengikut peraturan yang ditetapkan oleh perlembagaan parti dan peraturan Akta Pertubuhan.

Malangnya DAP masih lagi berkeras untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC parti itu dengan alasan arahan yang dikeluarkan oleh ROS adalah berdasarkan berita palsu.

Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, arahan ROS juga mengarut untuk dipatuhi oleh parti itu memandangkan tempoh jawatan untuk anggota CEC 2013 akan tamat.

“DAP kini sedang di dalam proses mengatur persiapan untuk mengadakan Kongres DAP bagi mengadakan pemilihan CEC untuk tempoh yang baharu.

“Jadi adalah mengarut jika ROS mahu DAP mengadakan pemilihan berdasarkan senarai perwakilan pada tahun 2012 berbanding 2017,” katanya ketika sidang akhbar hari ini.

Dalam keadaan wujud dakwaan isu manipulasi oleh pihak tertentu dalam pemilihan sebelumnya dan keputusan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh ahli DAP sendiri terhadap pihak ROS dengan mengambil kira peraturan di bawah Akta Pertubuhan , apakah pendirian dan keputusan DAP untuk tidak mengadakan semula pemilihan itu wajar diterima oleh ROS ?

Sekiranya diterima ianya akan turut berkait dengan status laporan yang dibuat oleh ahli DAP terhadap ROS berkenaan isu berbangkit , apakah status laporan tersebut sekiranya keputusan ROS supaya pemilihan semula CEC itu tidak perlu diadakan semula dan diteruskan dengan pemilihan untuk tempoh yang baru ?

Mengambil kira perkembangan terkini sekiranya pihak ROS sekali lagi mengambil sikap berdiam diri tanpa melakukan apa-apa tindakan terhadap parti DAP , kecelaruan ini pasti akan terus berlaku. 

Satu kecelaruan terancang yang bakal mengenepikan peraturan di bawah Akta Pertubuhan.

0 comments:

Post a Comment