KUALA LUMPUR, 17 Jun – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, persidangan mesyuarat UMNO bahagian-bahagian dan sayap-sayap yang telah bermula ini merupakan landasan terbaik untuk menghidupkan roh perjuangan dalam menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jelas beliau, semua bahagian yang bakal bersidang harus mengambil kesempatan ini untuk mengukuh dan merapatkan saf perjuangan selain mendengar amanat yang bakal disampaikan oleh para pemimpin yang bakal merasmikan mesyuarat.
“Di samping kita bersidang dengan mengikut segala aturan dan peraturan, kita juga boleh berkongsi pengalaman dari pemimpin yang bakal merasmikan mesyuarat.
“Selain itu, kita juga harus menghidupkan roh dan perjuangan UMNO sebagai wadah politik orang Melayu.
“Jadi, saya mendoakan perjalanan mesyuarat persidangan berjalan baik, tertib mengikut segala peraturan yang ada dan berharap persidang ini akan memperkasakan lagi perjuangan UMNO melalui wadah politik UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Annuar, persidangan ini juga adalah merupakan persidangan kedua UMNO sebagai pembangkang dan sudah pasti ia membawa matlamat dan cita-cita untuk parti keramat ini tampil dengan tawaran dan dasar yang boleh diterima rakyat dalam pilihan raya akan datang.
“Ini supaya kita kembali menjadi sebuah parti yang berkuasa dan menunaikan segala misi, visi dan dasar perjuangan parti UMNO ini.
“Bagi pihak ibu pejabat, saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua bahagian di seluruh negara termasuk persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri. Kita adalah angota sebuah parti politik yang berasaskan sebuah perjuangan yang membawa misi-misi dan objektif yang tertentu.
“Parti kita juga adalah parti yang mendokong semangat, roh dan naluri orang Melayu dalam usaha kita menegak dan mempertahankan agama Islam selain perkara-perkara lain yang termaktub dalam perkara tiga perlembagaan parti kita iaitu menjunjung keseluruhan perlembagaan, mendokong prinsip demokrasi berpalimen, memperjuangkan hak kepentingan orang Melayu dan sistem institusi Raja Melayu, bahasa dan secara keseluruhannya memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya,” jelas beliau. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment