Tuesday 9 May 2017

Produktiviti Naik 3.7%


PUTRAJAYA - Blueprint Produktiviti Malaysia menetapkan pertumbuhan minimum produkti­viti pekerja pada kadar 3.7 peratus setiap tahun bagi tempoh sehingga 2020 dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelan ber­kenaan turut menggariskan lima teras strategik, 10 inisiatif nasional, 43 inisiatif sektor dan 16 tindakan.

Katanya, lima teras strategi itu adalah menghasilkan tenaga kerja masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem teguh dan menentukan mekanisme pelaksanaan yang padu.

‘‘Pelaksanaan blueprint ini akan dibiayai melalui sekurang-kurangnya 89 program sedia ada di bawah RMK-11 (Rancangan Malaysia Kesebelas) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.5 bilion bagi tempoh 2017-2020.

‘‘Sektor swasta, besar mahupun kecil juga mesti memperuntukkan sumber dan pembiayaan yang mencukupi untuk meningkatkan produktiviti mereka,’’ katanya selepas melancarkan Blueprint Produktiviti Malaysia di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Produktiviti Negara Bil.1/2017 yang antaranya turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut Najib, kerajaan komi­ted menggandakan produktiviti negara menerusi pelan tersebut yang perencanaannya telah di­umumkan beliau semasa pembentangan RMK-11 dua tahun lalu.

Katanya, bagi meningkatkan produktiviti, kerajaan bersetuju menubuhkan tiga Nexus Produktiviti Sektor dengan geran pelancaran RM5 juta setiap satu iaitu peruncitan, makanan dan minuman; elektrik dan elektronik serta produk kimia.

‘‘Ini akan diikuti dengan fasa kedua bagi bulan September bagai subsektor jentera dan kelengkapan, pelancongan dan agro makanan.

‘‘Sementara itu, fasa ketiga akan bermula pada bulan Disember bagi subsektor ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), per­khidmatan profesional dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta,’’ katanya.

Dalam pada itu, Perdana Men­teri memberitahu, Mesyua­rat Produktiviti Negara akan berme­s­yuarat setiap suku tahun dan beliau akan menulis kepada setiap kementerian dan sektor swasta mengenai langkah perlu dilakukan bagi meningkatkan produktiviti.

‘‘Jika kita mempunyai aspirasi menjadi 20 negara terbaik dunia, kita perlu pacu pertumbuhan berdasarkan produktiviti yang lebih tinggi daripada apa telah dicapai selama ini,’’ katanya.

Katanya lagi, dalam mesyuarat hari ini, pihaknya juga memutuskan untuk memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat tempatan dan multinasional yang mencapai pertumbuhan produktiviti tinggi dan memaksimumkan penggunaan pekerja tempatan.

sumber - utusan 

0 comments:

Post a Comment