Wednesday 14 February 2018

Guan Eng, Kerajaan Dap P.Pinang Perlu Jawab Persetujuan ‘Pelik’ Terowong Bawah Laut


PULAU PINANG – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin, berkata, bahawa wujudnya perundingan dan persetujuan yang ‘pelik’ antara kerajaan negeri dan syarikat kontraktor yang terbabit dalam dalam projek pembinaan terowong bawah laut, yang begitu mencurigakan serta  menimbulkan banyak persoalan-persoalan yang sehingga ke hari ini masih tidak terjawab oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, urusan pembinaan terowong yang kontroversi ini di awal pengumumannya pun sudah banyak menimbulkan beberapa tanda tanya, apatah lagi apabila terbongkar maklumat bahawa kerajaan negeri sudahpun melangsaikan bayaran projek kepada syarikat kontraktor biarpun projek tersebut hanya akan dimulakan pada 10 tahun akan datang.

“Antara yang pelik dalam urusan pembinaan terowong ini ialah, bagaimana kerajaan negeri boleh membayar secara penuh kos pembinaan terowong tersebut kepada syarikat kontraktor tersebut, sedangkan projek pembinaan terowong itu dijadualkan pada tahun 2023, iaitu 10 tahun akan datang.

“Bukan setakat itu sahaja, kerajaan negeri  juga bersetuju untuk memberikan konsesi tol selama 30 tahun yang jelas akan memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada syarikat terbabit”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau turut melemparkan persoalan apa pula akan jadi sekiranya perancangan dan laluan membina terowong bawah laut itu tidak lagi sesuai dalam masa 10 tahun akan datang, contohnya kemungkinan berlakunya perubahan struktur tanah bawah laut dan sebagainya.

“Begitu juga dengan kos. Apakah tidak ada sebarang peningkatan kos pembinaan terowong tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang?

“Dalam pada itu, apakah kerajaan Dap fikir mereka akan kekal selama dua penggal lagi memerintah Pulau Pinang. Jika mereka tidak lagi memerintah Pulau Pinang, dan kerajaan baru pula tidak bersetuju untuk melaksanakan projek itu pada tahun 2023, bagaimana dengan wang rakyat sejumlah RM 305 juta itu? Apakah wang tersebut dapat dikembalikan semula ke kantung kerajaan negeri?

“Persoalan-persoalan seperti ini tidak dijawab secara jelas oleh Ketua Menteri, sebaliknya jawapan beliau lebih banyak kepada putar belit politik yang cuba menyalahkan pihak kerajaan. Jadi tidak hairanlah rakyat menuntut jawapan daripada kerajaan negeri berhubung isu terowong ini, kerana bukan sikit duit rakyat yang digunakan dalam perancangan membina terowong tersebut,” tegasnya.

Jelas Jasmin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jelutong, isu terowong ini merupakan satu lagi gambaran jelas kepincangan  pentadbiran kerajaan negeri yang dilihat tidak telus dengan membuat keputusan yang pelik-pelik serta tindakan mereka yang sewenang-wenangnya dalam  membelanjakan ratusan juta ringgit wang rakyat.

“Kita pun jadi pelik mengapa kerajaan negeri tergesa-gesa membayar jumlah keseluruhan wang sebanyak RM 305 juta  itu kepada syarikat kontraktor  tersebut. Apakah jika berlaku sebarang perubahan yang melibatkan kos dalam masa 10 tahun lagi, maka kerajaan negeri akan membayar wang tambahan lagi kepada syarikat kontraktor tersebut untuk mendapatkan khidmat mereka?

“Pembayaran yang dibuat dilihat agak tergesa-gesa , seolah-olah ada pihak tertentu yang mahu  mendapat keuntungan yang cepat daripada projek ini. Sebab itu, SPRM mempunyai alasan yang kuat untuk menyiasat projek pembinaan terowong ini wujudnya kemusykilan yang menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dengan hal ini.

“Satu persatu isu melingkari pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini bagi saya membuktikan, Dap telah  gagal dan tidak telus dalam mentadbir negeri. Jadi tak usahlah kepimpinan Dap, terutamanya Ketua Menteri, Lim Guan Eng mahu mendabik dada kononnya pentadbiran Dap cekap ,telus, berakauntabiliti, kerana hari ini rakyat telah dapat melihat betapa lemah dan gagalnya beliau dan gerombolannya mentadbir negeri ini,” ujarnya. - Umno Online

0 comments:

Post a Comment