Monday 12 February 2018

Jentera UMNO, BN Diingatkan Tidak Ambil Mudah Pergolakan Pembangkang


KLUANG – Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah dengan pergolakan dialami pembangkang khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kerana kelemahan pembangkang bukan bererti UMNO dan BN kuat, maka, jentera perlu memainkan peranan bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita dalam UMNO dan BN tidak boleh mengambil mudah. Orang tidak suka, tidak yakin dengan pembangkang tidak bermakna mereka tahu apa yang kita (UMNO dan BN) lakukan.

“Kita di peringkat parti mesti turun ke bawah memberi penerangan mengenai perjuangan kita. Saya harap jentera tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta NBOS Mesra Rakyat di Padang Awam Paloh, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas pergolakan dalam PPBM apabila semakin ramai anggotanya bertindak keluar daripada parti.

Semalam, seramai 50 anggota PPBM bahagian Larut mengisytihar keluar parti itu dan menyertai UMNO kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan perjuangan PPBM.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata hala tuju dan matlamat perjuangan PPBM yang tidak jelas merupakan kemungkinan anggota parti berkenaan bertindak sedemikian.

“Matlamat perjuangan mereka (PPBM) tidak sehaluan. Dari segi struktur kepimpinan pun masih kabur walaupun sudah dekat pilihan raya. Mungkin sebab itu ramai yang keluar (daripada parti),” katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment