Tuesday 6 February 2018

Sweden Tegas Minyak Sawit Tidak Seharusnya Didiskriminasikan


KUALA LUMPUR, 6 Feb – Minyak sawit tidak seharusnya didiskriminasikan dalam sistem perdagangan ketika Kesatuan Eropah (EU) mengorak langkah memperbaharui arahan tenaganya, kata Menteri Perusahaan dan Inovasi Sweden Mikael Damberg.

Beliau berkata Sweden menyedari minyak sawit sebagai industri penting di Malaysia dan mengetahui bahawa banyak inisiatif telah diambil kerajaan untuk menggerakkannya ke dalam sistem global.

“Sweden amat menghargai usaha kerajaan Malaysia bagi melestarikan industri sawit,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Sweden-Asia Tenggara Kedua, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada 17 Jan, 2018, Parlimen Eropah mengundi untuk menghentikan secara berperingkat biofuel minyak sawit daripada campuran tenaga EU selepas 2020.

Laporan menyatakan keputusan akhir akan dibuat semasa mesyuarat tiga pihak bersama Majlis dan Suruhanjaya EU.

Mustapa berkata sentimen pengguna boleh dipengaruhi oleh tindakan yang diambil ahli parlimen EU itu untuk mengehadkan penggunaan minyak sawit.

“Kini ia masih di peringkat perbincangan, sekiranya ia menjadi kenyataan, ia pasti akan menjejaskan eksport kita kerana EU adalah sebuah pasaran yang besar,” katanya.

China, EU dan India merupakan tiga pasaran utama bagi minyak sawit Malaysia.

Tahun lepas, dua juta tan metrik atau 15 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia bernilai RM10.3 bilion dieksport ke EU.

Sementara itu, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Sweden dijangka meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang apabila perdagangan rantau ASEAN menjadi lebih liberal.

“Kami menjangka angka itu meningkat dan melihat kepentingan daripada syarikat Sweden di Malaysia, saya rasa kita boleh mencatatkan lebih banyak aktiviti dagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” kata Damberg.

Antara tempoh 1980 dan September 2017, Malaysia meluluskan 126 projek pembuatan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.7 bilion, yang melibatkan penyertaan Sweden dan mewujudkan kira-kira 8,200 peluang pekerjaan.

Sidang Kemuncak Perniagaan Sweden-Asia Tenggara selama dua hari itu merupakan usaha bersama oleh Team Sweden di Asia Tenggara.

Team Sweden termasuklah Kedutaan Sweden di negara anggota ASEAN, Pesuruhjaya Perdagangan Sweden dan wakil Business Sweden di rantau ini serta persatuan perniagaan dan dewan perniagaan di negara masing-masing.

0 comments:

Post a Comment