Thursday 8 February 2018

Tiga Resepi UMNO Terus Bertahan…Demokratik, Ultra Populis Dan Islamik – Salleh


KUALA LUMPUR, 8 Feb – UMNO mempunyai resepi yang tersendiri di dalam memastikannya terus gagah dan bertahan hingga kini yang memasuki usia ke-72 tahun.

Ini adalah kerana UMNO adalah sebuah parti yang bersifat ultra populis, demokratik dan Islamik, ujar Bendahari UMNO Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Dikatakan ultra populis kerana UMNO peka kepada keperluan rakyat, memahami aspirasi rakyat, menjaga hubungan baik dengan parti komponen, melindungi rakyat semua kaum, membantu rakyat miskin dan menjaga kebajikan rakyat.

“Bukan hanya itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sekarang, UMNO telah menjadi lebih baik. Kepimpinannya adalah demokratik dan Islamik,” ujarnya dalam catatan terbaharu di blognya sskeruak.blogspot.com.my di sini, hari ini.

Tambahnya, bersifat demokratik kerana Najib boleh menerima perbezaan politik dan tidak pernah ada dalam rekod kepimpinannya yang rakyat mati atau cedera kerana perbezaan parti.

Manakala Islamik kerana beliau sedia mengetepikan perbezaan politik dengan Pas demi kepentingan Islam dan menjalin hubungan baik dengan kerajaan Pas Kelantan demi kesejahteraan orang Melayu Islam di negeri itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu lagi.

“Najib juga memperkenalkan Indeks Syariah, pertama seumpamanya di dunia untuk menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.

“Hasil usaha kerajaan ini menunjukkan Skor Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2017 adalah 76.06 peratus, meningkat 0.64 peratus berbanding skor pada 2015 iaitu 75.42%.

“Di bawah Najib juga, UMNO semakin mantap membela raja-raja Melayu, dan mempertahankan bangsa Melayu dan Bumiputera,” jelasnya lagi.

Salleh turut berkeyakinan UMNO hari ini adalah parti hebat yang akan memastikan Melayu tidak hilang di dunia, malah kekal maju dan progresif.

“Semua ini boleh dicapai kerana UMNO di bawah kepimpinan sekarang adalah parti demokrasi ultra populis yang mendapat sokongan padu majoriti orang Melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Salleh juga memberi contoh parti-parti lain yang masih ada seperti Demokrat, ditubuhkan pada 1792 di Amerika dan Konservatif (1834) di England biarpun paling lama wujud tetapi kekuasaan parti ini sering bertukar.

“Di Asia pula, parti paling lama berkuasa ialah Golkar di Indonesia, LDP di Jepun, dan Kongres di India.

“Parti-parti ini sama bangun dengan UMNO, tetapi semuanya sudah tumbang; jika masih ada pun hanya berkongsi kuasa dengan parti lain,” katanya. - Umno Online

0 comments:

Post a Comment