Friday 20 April 2018

Sampai Bila Guan Eng Mahu Jadi Bisu Enggan Jawab Isu Terowong Dan Gambar?


BUKIT BENDERA, 20 April – Setiap kali timbul isu yang perlukan penjelasan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, setiap kali itulah Guan Eng akan bermain ‘sorok-sorok’ ataupun menuding jari kepada pihak lain.

Tidak akan ada jawapan yang diberikan bagi menjawab segala persoalan yang dilemparkan dan ia akan terus kekal ‘misteri’.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim, Guan Eng perlu sedar kerana rakyat akan membalas kedegilan dan keangkuhan Guan Eng ini dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.

“Mungkin Guan Eng merasakan tidak perlu jawab sebab akhirnya rakyat akan lupa tetapi sebenarnya tidak. Sehingga kini rakyat masih lagi mahu tahu skandal pembinaan projek mega terowong dasar laut dan rakyat masih mahu tahu apa hubungan Guan Eng dengan Datuk Seri G. Gnanaraja yang dituduh menerima rasuah sebanyak RM19 juta.

“Kita tahu, jika ada sebarang isu yang membabitkan BN (Barisan Nasional), Guan Englah antara pemimpin pembangkang yang akan terus-terusan menyerang dan membogelkan isu tersebut tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, sikap Guan Eng akan berubah 360 darjah. Segalanya akan dikunci rapat,” jelas Rafizal kepada UMNO-Online.

Tambah Rafizal, sekiranya Guan Eng mahu terus mengunci mulut, sekurang-kurangnya beliau perlu memberi jawapan berkaitan hubungan beliau dengan Gnanaraja dan apakah tindakan yang kerajaan negeri bakal ambil terhadap salah laku Konsortium Zenith Constuction Sdn. Bhd iaitu syarikat yang diberi kepercayaan untuk menjalankan projek terowong dasar laut.

“Zenith telah mengaku memberi rasuah kepada Gnanaraja maka apakah tindakan kerajaan negeri terhadap syarikat ini kerana Guan Eng sendiri yang melantik Zenith bagi melaksanakan projek terowong itu.

“Apakah Zenith akan terus diberi kepercayaan membina terowong sedangkan sehingga kini masih tiada perkembangan berkaitan projek tersebut.

“Perkara ini perlu dijawab oleh Guan Eng dengan segera. ‘Hutang’ jawapan masih dituntut oleh rakyat negeri ini,” tegas beliau.

Untuk rekod, projek mega terowong dasar laut Pulau Pinang sejak awal-awal lagi telah mengundang kontroversi dan pelbagai pihak musykil mengapa kerajaan Pulau Pinang begitu terburu-buru mahu berterusan membina terowong tersebut.

Pada 14 November 2011, Guan Eng menyatakan matlamat utama projek terowong ini adalah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di pulau itu bagaimanapun pelbagai pihak tampil mendedahkan pembinaan terowong dasar laut serta beberapa batang jalan raya baharu tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di pulau itu.

Tetapi seperti yang umum tahu, Guan Eng tetap berdegil dan tidak mementingkan kepentingan rakyat Pulau Pinang. Tidak cukup dengan itu, selepas itu seperti yang sedia maklum pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menyerbu beberapa syarikat berkait dengan pembinaan terowong ini.

Selain itu, Guan Eng juga berdepan dengan kontoversi apabila beberapa pendedahan dilakukan oleh MCA baru-baru ini tetapi sehingga kini beliau hanya mendiamkan diri.

Jika tidak salah, mengapa diam?

Parti Cinta Malaysia (PCM) melalui Timbalan Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan bukan sahaja mendedahkan kepincangan dalam pembinaan terowong ini malah juga yang pertama membuat laporan polis sehingga memaksa SPRM bertindak.

Tidak cukup dengan itu, Cheng Guan juga mendedahkan rakaman gambar antara Guan Eng dan Gnanaraja malah melontarkan pelbagai persoalan yang gagal dijawab.

Kerajaan Dap Pulau Pinang juga dipersoal mengapa sehingga kini belum memulakan kerja-kerja pembinaan tiga lebuh raya yang dirancang di negeri ini yang sepatutnya sudah bermula pada 2014.

Penangguhan beberapa kali projek itu menimbulkan tanda-tanya kerana kajian reka bentuk terperinci sudah siap selain pembayaran sebanyak RM208 juta juga sudah dibuat.

Parti Gerakan negeri juga mempersoalkan bagaimana tanah yang belum wujud serta tidak mempunyai geran di negeri ini boleh dijual antara pemaju membabitkan nilai berbilion ringgit.

Tanah yang dimaksudkan adalah tanah tebus guna laut seluas 20 hektar (50 ekar) yang ketika ini masih dalam kerja-kerja tambakan bagi projek Sri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong adalah daripada kawasan tambakan laut seluas 44.5 hektar (110 ekar) yang digunakan Dap Pulau Pinang untuk membayar kos pembinaan projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama kepada syarikat Zenith BUCG. Bagaimana begitu Guan Eng?

Guan Eng juga tidak menjawab apa-apa apabila lebih ramai yang ditahan berhubung pembinaan terowong dasar laut ini sebaliknya cuba menuding jari kepada pihak lain.

Peliknya, apabila nama Pengerusi Tabung Haji merangkap Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Abdul Rahim ditimbulkan oleh Guan Eng dalam skandal wang suapan bagi menutup kes siasatan SPRM, sehingga kini Guan Eng masih gagal memberikan penjelasan siapakah yang telah memberikan maklumat tidak benar kepadanya. Tidak cukup dengan itu, Guan Eng juga besar kepala dan enggan memohon maaf kerana melempar fitnah. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment