Wednesday 12 April 2017

Bawa Usul Kecam Shabudin : Guan Eng Diselar Guna Sidang DUN Untuk Lunas Agenda Peribadi



JELUTONG, April – Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mahu membawa usul mengecam Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di sidang DUN Mei ini jelas menunjukkan bahawa dia seorang ketua menteri yang tidak beretika dan tidak bersandarkan pada fakta.
Ini kerana jelas beliau, telah berulang kali dinyatakan bahawa kenyataan Shabudin berkaitan perkahwinan antara perogol dan mangsa di Dewan Rakyat, baru-baru ini telah dimanipulasi.
“Perkara ini sebenarnya telah jelas… kenyataan Shabudin telah disalah ertikan. Jadi, jika Guan Eng tetap mahu membawa usul mengecam Shabudin maka terbuktilah bahawa Dap tidak berpaksikan kepada fakta tetapi sentiasa menunggu peluang untuk menangguk di air keruh demi kepentingan politik peribadi.
“Lagi pula umum mengetahui bahawa Guan Eng sememangnya mempunyai dendam peribadi terhadap Shabudin ekoran pendedahan yang dibuat berkaitan rasuah pembelian rumah banglo yang akhirnya menyebabkan Guan Eng kini berhadapan dengan kes mahkamah atas tuduhan rasuah,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Razak, tindakan Guan Eng ini secara tidak langsung bakal mencemarkan sidang DUN kerana ia dijadikan tempat untuk membalas dendam sedangkan sidang DUN seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan permasalahan rakyat.
Tegasnya penafian Guan Eng kononnya usul yang dibawa itu bukanlah atas dasar membalas dendam tidak mampu ‘mensucikan’ niatnya kerana rakyat kini bukan lagi mudah untuk diperkotak-katikkan.
“Sudah sekian lama Guan Eng meletakkan pemikiran rakyat seperti di bawah tapak kakinya… dia mahu apa sahaja alasan yang diberikan mesti diterima rakyat.
“Rakyat sudah muak dengan sandiwara politik Dap… Cukup-cukuplah merendah-rendahkan pemikiran rakyat terutamanya rakyat di negeri ini.
“Dap harus ingat, sebagaimana rakyat mampu menaikkan pembangkang maka begitu juga rakyat boleh menjatuhkan mereka kembali,” jelasnya lagi.


0 comments:

Post a Comment