Wednesday 5 April 2017

UMNO Permatang Pauh Terus Prihatin


PERMATANG PAUH – Sejak enam tahun lalu, pergerakan Mohd. Harith Othman terbatas apabila hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda selepas diserang penyakit saraf.

Ada kalanya dia yang kini berusia 34 tahun dan tidak be­kerja terlantar di atas katil apabila penyakit itu menyerang sehingga kakinya bengkak dan tidak boleh digerakkan langsung.

Selain itu, adiknya Muhammad Alif adalah orang kurang upaya (OKU) yang dikesan menghidap sindrom down dan baru-baru ini terpaksa dima­sukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya akibat sesak nafas.

Jelas Mohd. Harith, dia terkilan kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan ibu bapanya yang meniaga pisang goreng di hadapan Masjid Sembilang di sini.

“Sejak enam tahun lalu, di atas katil inilah tempat saya makan, tidur dan solat kerana tak mampu nak bergerak selain terpaksa bergantung kepada kerusi roda sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

“Adik saya juga kini me­ngalami masalah kesihatan apabila lehernya terpaksa ditebuk akibat sesak nafas baru-baru ini. Tambahan pula dia seorang OKU,”katanya selepas me- n­erima lawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin baru-baru ini.

Pada lawatan itu, Abu Bakar Sidekh menyampaikan sumba­ngan barangan keperluan ha­rian serta wang tunai bagi menampung perbelanjaan Mohd. Harith dan Muhammad Alif.

Selain itu, beliau turut menziarahi tiga beradik yang berusia antara enam hingga sembilan tahun yang tidak bersekolah akibat kese­m­pitan hidup di kawasan sama.

Abu Bakar Sidekh berkata, beliau dimaklumkan mengenai masalah yang menimpa Mohd. Harith dan adiknya serta tiga beradik itu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Taman Sembilang.

“Untuk Mohd. Harith dan adiknya, saya akan meminta jawatankuasa pemuda di kawasan ini memantau tahap kesihatan mereka dan berharap mereka mendapat rawatan terbaik di hospital.

“Tiga beradik yang tak bersekolah itu, saya akan berbincang dengan ZPP untuk melihat apakah langkah yang boleh diambil untuk memastikan mereka meneruskan persekolahan,” ujarnya.

sumber - utusan 

0 comments:

Post a Comment