Tuesday 4 April 2017

Shabudin Bangkitkan Isu Tambak Laut Di Dewan Rakyat


Isu penambakan laut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang telah pun dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

YB Datuk Hj Shabudin Yahaya , Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam soalan lisan yang diajukan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat hari ini menyatakan apakah pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap cadangan panambakan laut bagi pembinaan tiga buah pulau buatan di Pulau Pinang yang dikhuatiri menjejaskan ekosistem serta sumber pendapatan nelayan setempat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar , Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapannya berkata sebarang cadangan projek pembangunan di Malaysia termasuklah penambakan laut hendaklah mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri contohnya daripada Pihak Berkuasa Tempatan melalui proses One Stop Centre (OSC) berdasarkan undang-undang yang berkaitan.

Dalam proses OSC ini , Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan salah satu agensi-agensi lain yang akan memberikan input berkenaan keperluan JAS bagi cadangan projek tersebut berdasarkan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Cadangan penambakan laut bagi pembinaan tiga buah pulau buatan di Pulau Pinang adalah tertakluk di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana pemaju projek dikehendaki mengemukakan laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk kelulusan memandangkan projek tersebut merupkaan aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

JAS telah menerima Terms Of Reference (TOR) Laporan EIA bagi cadangan projek tersebut yang telah disediakan oleh Jururunding EIA yang berdaftar dengan JAS , Dr. Nik & Associates Sdn Bhd (DNA) bagi pihak pemaju projek , Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn Bhd pada 23 Mei 2016.Walaubagaimanapun sehingga kini JAS masih belum menerima laporan EIA.

Pemaju projek dikehendaki menyediakan Laporan EIA dengan menjalankan kajian impak ke atas isu-isu kritikal antara lainya impak kepada kualiti air , hidraulik , ekosistem dan sosio ekonomi nelayan setempat.Laporan EIA tersebut juga hendaklah mengandungi antara lainnya cadangan langkah-langkah kawalan , pelan pengurusan alam sekitar , pematuhan kendiri (self regulation) dan jadual aktiviti perlaksanaan projek di semua peringkat pembangunan projek tersebut.

Dalam hubungan ini , pemaju projek semasa pelaksanaan penambakan bagi pulau buatan hendaklah mengambil langkah pencegahan dan kawalan pencemaran yang berkesan seperti yang ditetapkan dalam Syarat-syarat Kelulusan Laporan EIA.Sekiranya kerosakan atau pencemaran berlaku semasa kerja-kerja penambakan , pemaju projek adalah terdedah kepada tindakan perundangan serat menanggung segala kos yang melibatkan kerja-kerja rehabilitasi bagi kawasan yang terlibat.

JAS akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya kepada pemaju projek sekiranya :

(i) Projek telah dimulakan tanpa laporan EIA disediakan dan tidak mendapat kelulusan daripada JAS; dan 

(ii) Ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat kelulusan EIA projek tersebut seperti mengeluarkan notis arahan , kompaun atau tindakan mahkamah bagi projek yang telah mendapat kelulusan laporan EIA.

Disamping itu , JAS boleh mengenakan perintah berhenti kerja atau perintah larangan bagi projek yang belum mendapat kelulusan EIA , ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat kelulusan EIA atau yang menyebabkan pencemaran yang serius.

Sekian , terima kasih   

0 comments:

Post a Comment