Sunday 12 November 2017

Mangsa Banjir Permatang Pauh Terus Dibantu, Kali Ini ‘Oghe Tere’ Pula Turun Padang


PERMATANG PAUH, 12 Nov – Berbekalkan pengalaman sewaktu Kelantan khususnya Parlimen Ketereh dilanda banjir besar dua tahun yang lalu, hari ini sukarelawan daripada Parlimen Ketereh turun padang di Kampung Kubu dengan diketuai Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa bersama jenteranya bagi membantu membersihkan rumah-rumah serta perlatan mangsa yang terlibat dengan musibah banjir Sabtu lalu.

Dengan segala kelengkapan yang dibawa daripada Ketereh, sukarelawan yang hampir 200 orang termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Mohamad Azam mula melaksanakan gotong-royong bersama penduduk setempat pada awal pagi dan turut dibawa dalam misi berkenaan, keperluan makanan yang kemudiannya diserahkan kepada mangsa banjir.

Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua Penerangan UMNO ketika ditemui memberitahu pada mulanya hanya 40 hingga 50 sukarelawan yang dijangka terlibat dalam misi tiga hari di Permatang Pauh dan Tasek Gelugor, namun keadaannya berubah setelah masing-masing menyatakan minat untuk turut serta membantu.

“Pada mulanya kita nak bawa 40 hingga 50 orang tetapi ramai yang mahu datang bersama…sekarang dah hampir 200 orang termasuk kawan-kawan USM, Pemuda Kuala Krai dan sebagainya lagi. Selain bawa tenaga, kita juga bawa bantuan makanan dan keperluan lain untuk 400 keluarga daripada pusat khidmat saya…termasuk daripada Biro Kebajikan UMNO Malaysia.

“Pengalaman dua tahun lepas apabila Kelantan dilanda banjir besar membuatkan kita tahu macam mana orang yang kena banjir ini amat susah. Mereka yang terlibat dengan banjir ini trauma…apabila semua barang di dalam rumah rosak dan mereka tidak tahu untuk memulakan di tempat mana.

“Kita tahu perkara ini… Apabila tenaga ramai Alhamdulillah kerja pasca banjir ini cepat sikit. Cuci pinggan mangkuk dan membersihkan lumpur serta sebagainya lagi menjadi cepat. Kita datang lengkap dengan peralatan dan konsep kita datang membantu tidak mahu menyusahkan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Kubu, dekat sini, Sabtu.

Kata Annuar lagi, gerak kerja mereka di kawasan berkenaan dikoordinasi oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri serta UMNO Bahagian dan apa yang penting adalah mangsa banjir perlu dipulihkan dalam masa yang cepat.

“Mereka perlu dipulihkan dalam masa yang cepat. Macam sekarang ni tuan rumah pun ada semangat. Bantuan awal yang penting stok makanan, mencuci seperti yang kita laksanakan hari ini dan kita kena bincang lagilah dengan kerajaan macam-macam seperti kelengkapan elektrik rumah.

“Di Pahang dahulu ada bantuan kebajikan ganti peralatan elektrik dan sebagainya. Ini semua akan kita bincang dan Biro Politik UMNO semalam dah bincang untuk selaraskan bantuan daripada seluruh negeri yang dikoordinasi oleh perhubungan dan selepas itu bantuan selanjutnya akan ambil pandangan negeri apa keperluan yang paling sesuai,” katanya.

Jelas beliau konsep tolong-menolong dan semangat sukarelawan daripada pelbagai pihak dilihat cukup tinggi dan suasana seumpama itu perlu terus digalakkan.

“Kalau boleh jangan dipolitikkan… macam kita dah bagi tahu awal-awal bantuan sebegini harus melangkaui sempadan politik dan harus dibuat dengan ikhlas dan mudah-mudahan khidmat sukarelawan seperti ini dapat meringankan beban semua mangsa banjir yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir di negeri berkenaan termasuklah bantuan makanan, kelengkapan dan juga khidmat sukarelawan membersihkan rumah yang terlibat.

“Kita selaraskan supaya bantuan tidak bertindih di satu tempat sahaja dan kita agihkan berdasarkan kawasan tertentu. Alhamdulillah banyak kawasan yang telah disentuh serta bantuan diberi dan inilah keindahan kita…

“Apabila satu tempat ditimpa bencana negeri lain datang bantu termasuk NGO. Ini tradisi kita sejak dahulu apabila negeri lain ditimpa musibah kita bantu setakat jentera yang ada dan hari ini waktu Pulau Pinang ditimpa bencana semua negeri datang dan kita sangat menghargai bantuan yang macam-macam,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment