Saturday 25 November 2017

Lagi Bukit Di Gondol Di Pulau Pinang


BALIK PULAU: Pulau Pinang diancam banjir yang lebih serius, apabila sebuah lagi bukit di daerah ini sedang digondolkan bagi tujuan pembangunan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob, berkata kegiatan menggondol Bukit Sungai Rusa yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 0.81 hektar itu dipercayai sudah dilakukan sejak lima tahun lalu. 

Beliau berkata, pihaknya menerima rungutan daripada penduduk kampung yang mengeluh apabila rumah mereka dinaiki banjir lumpur dalam kejadian banjir pada 5 November lalu. 

"Saya menerima aduan daripada penduduk yang mengadu rumah mereka dilanda banjir lumpur dan ia pertama kali berlaku sejak kampung itu mula dibuka. 

"Bagaimanapun saya sudah pun menemui pemilik tanah ini dan saya difahamkan kerja menarah bukit sudah dihentikan buat seketika. 

"Namun, apa yang lebih mendukacitakan saya adalah mengapa perkara begini tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kerana saya difahamkan projek ini belum mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Tinjauan BH bersama Shah Headan yang turut disertai pemilik tanah, Mohd Nasir Sulaiman, mendapati kesan gondol cerun bukit berkenaan jelas kelihatan dari Kampung Sungai Rusa, selain ia terletak berdekatan anak sungai. 

Difahamkan, kawasan lereng Bukit Sungai Rusa itu dikategorikan sebagai tanah gred satu, iaitu tanah yang dibenarkan bagi sebarang kerja pembangunan dan boleh dimajukan. 

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, beliau merancang untuk membina kediaman keluarganya di lereng bukit berkenaan, selain membina laluan jalan raya untuk ke puncak bukit. 

"Saya sudah membeli tanah dengan keluasan 2.43 hektar ini sejak lima tahun lalu. Saya merancang untuk memajukan ia dengan membina kediaman, chalet, rumah sewa, dan juga kebun durian. 

"Tetapi saya akui kesilapan saya kerana projek ini belum mendapat kelulusan penuh MBPP dan saya juga sudah disaman kerana tidak menghantar pelan kerja tanah," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment