IPOH - Pemimpin dan anggota UMNO perlu memelihara serta menjaga parti yang mengetuai Barisan Nasional (BN) itu dengan sebaik-baiknya daripada dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama pembangkang, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar, berkata pemimpin dan anggota UMNO tidak boleh leka dan selesa dengan kuasa pemerintahan yang dipegang oleh BN sekarang, sebaliknya perlu bersatu padu dan setia memperjuangkan parti bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Selain itu, kita tidak boleh menjatuhkan sesama sendiri dalam parti hanya untuk kepentingan dan agenda peribadi semata-mata dan bukannya memperjuangkan kepentingan parti dan rakyat.
“Kita juga tidak harus berpecah belah hanya disebabkan mendengar perkara yang tidak sahih atau khabar angin oleh individu yang mahu menjatuhkan kerajaan sedangkan individu itu pernah mentadbir negara selama 22 tahun dan pernah menjadi anggota UMNO,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timur semalam.
Dalam pada itu, Reezal Merican yakin BN akan terus kekal memerintah Perak selepas PRU-14 berdasarkan semangat juang dan kerja keras yang dilakukan oleh pemimpin di negeri tersebut.
“Walaupun terdapat beberapa kawasan di negeri ini yang bukan kubu kuat BN, namun saya yakin dengan semangat juang dan kesungguhan tinggi oleh pemimpin ia merupakan petunjuk yang amat positif bahawa Perak tetap dalam genggaman BN,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur Datuk Azian Osman dalam sidang media kemudian, berkata kepimpinan tertinggi BN perlu memberi perhatian dengan menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada kawasan parlimen yang tidak dikuasai BN.
Beliau mengambil contoh kawasan Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat yang kini dikuasai oleh DAP agak terpinggir daripada agihan peruntukan untuk kesejahteraan rakyat di kawasan itu.
“Ia bukan bermaksud kita tidak dipedulikan tetapi agihan peruntukan perlulah diberikan sama rata seperti kawasan yang dimenangi BN,” katanya.
0 comments:
Post a Comment