Saturday 19 August 2017

Kerajaan Lulus Insentif Cukai Istimewa Untuk NCER – Najib


GEORGE TOWN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan insentif cukai istimewa untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi melonjakkan pelaburan di wilayah berkenaan.

Beliau berkata insentif itu khusus untuk syarikat-syarikat yang melibatkan diri dalam bidang-bidang utama wilayah utara seperti, pembuatan, pertanian, industri-bio dan perkhidmatan.

“Dengan dedikasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerjasama erat agensi-agensi peringkat persekutuan, negeri dan swasta, saya yakin bahawa visi untuk menjadikan NCER sebagai destinasi bertaraf dunia akan menjadi kenyataan,” ucapnya pada majlis pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan NCER (Blueprint 2.0) di sini, hari ini.

Mengenai pelancaran Blueprint 2.0 itu, beliau berkata menerusinya NCER akan merealisasikan jumlah pelaburan terkumpul sehingga mencecah RM146.5 bilion menjelang 2025.

Katanya setiap negeri di wilayah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri yang jika digabung akan membawa kemajuan lebih pesat dan teratur kepada semua warga NCER.

“Inilah konsep yang menjadi falsafah di sebalik penubuhan NCER,” kata Najib.

Dalam pada itu katanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi NCER juga dijangka mencecah RM300 billion menjelang 2025 dengan purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM12,964.

“Purata pendapatan isi rumah golongan B40 pula akan dilonjakkan sehingga mencapai RM6,043,” katanya.

Perdana menterii berkata kajian juga menunjukkan pertumbuhan KDNK memberansangkan di koridor utara iaitu peningkatan pada kadar 5.4 peratus setiap tahun bermula 2010 hingga 2014, iaitu 0.8 peratus lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan KDNK negara.

Beliau berkata Blueprint 2.0 itu bukan sahaja amat penting bagi masa depan koridor utara, malah bakal menjadi rujukan dan panduan kepada semua kementerian, jabatan, agensi, serta sektor swasta dalam usaha untuk merancang serta membangunkan NCER.

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Bakar Din; Penasihat Khas Perdana Menteri bagi NCER, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.

0 comments:

Post a Comment