Tuesday 22 August 2017

NGO Lapor Dakwaan Salah Guna Kuasa Di P. Pinang


PULAU PINANG – Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mereka bimbang wujud dua kes salah guna kuasa membabitkan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pengerusinya, Sophian Mohd. Zain berkata, pihaknya berasa pelik apabila terdapat seorang ahli MBPP yang menerima elaun RM4,000 sebulan layak menyewa unit Projek Perumahan Rak­yat (PPR) di Sungai Pinang dengan kadar bayaran RM100 sebulan.

Katanya, lelaki berkenaan juga difahamkan mempunyai jawatan dalam persatuan penduduk di situ.

“Kita sedia maklum PPR dikhaskan kepada orang miskin, jadi bagaimana beliau boleh tinggal di situ.

“Ahli majlis merupakan penggubal dasar dalam MBPP dan seterusnya menyelia PPR, jadi sekiranya terdapat aduan, bagaimana ketelusan tindakan yang akan mereka ambil,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Katanya, laporan berkenaan juga dibuat membabitkan seorang lagi Ahli Majlis MBPP yang turut memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) negeri di Permatang Damar Laut.

Menurut Sophian, ahli majlis berkenaan bertugas menjaga kawasan yang sama dengan beliau menjadi ahli JKKK.

“Di sini kita melihat wujud konflik kepentingan dalam me­laksanakan tugas. Bagaimana perkara ini boleh dibiarkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana mereka seharusnya lebih peka jika benar-benar mengamalkan slogan Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) dalam pentadbiran,” katanya.


0 comments:

Post a Comment