PERMATANG PAUH, 5 Okt – Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, konsep Barisan Nasional (BN) harus difahami oleh semua ahli kerana inilah konsep keadilan ‘sharing of power’ dan juga konsep saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Jelas beliau, walaupun UMNO adalah parti majoriti dalam BN namun tidak wujud sama sekali sistem veto.
“BN mempunyai 13 parti komponen dan semuanya sama penting kerana dalam BN kita berkonsepkan konsensus. Parti kecil yang mungkin hanya ada seorang ahli parlimen dalam BN tetap penting dan semua dalam BN kita putuskan secara konsensus.
“Apa yang penting adalah konsep BN dan bukan soal MCA, UMNO, MIC dan sebagainya.
“Kekuatan kita adalah muafakat. Bukan hanya ada UMMO, MCA dan MIC. Kadangkala kita terlupa ada 13 parti politik dan tidak ada satupun parti-parti politik ini kecil dari yang lain.
“Kalau ini kita fahami… katakanlah sekarang ini MCA tidak mendapat sambutan orang Cina, kita kena menganggap itu hanyalah sementara dan kalau kawan-kawan kita menghadapi masalah, semua parti komponen yang lain mesti membantu,” ujarnya dalam sidang media selepas program sesi diaolog Perjuangan4all di Permatang Pauh semalam.
Tegas beliau, BN tidak mahu menjadi seperti pakatan pembangkang yang mengamalkan sikap makan rakan sendiri.
“Kita lihat Pas masuk bergabung dengan Dap, di belakang Pas Dap tikam Pas. Senyap-senyap Dap campur tangan dalam pucuk pimpinan Pas dan Dap cuba menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin dalam Pas.
“Akibatnya, mereka makan sesama sendiri. Begitu juga dengan lain-lainnya. Berbeza dalam BN. Kita sudah ada konsep yang cukup stabil dan telah diuji dalam tempoh masa yang cukup lama dan kita telah melalui saat-saat kebersamaan ini.
“Jadi kalau betullah sekarang ini dikatakan orang Cina tidak memberi sokongan kepada MCA, pada saya ini hanyalah sementara dan MCA juga UMNO hendaklah yakin kepada roh dan dasar perjuangan MCA seperti dasar dan perjuangan UMNO,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu beliau melahirkan rasa gembira kerana siri jelajah Perjuangan4all ini benar-benar telah mendapat momentum bukan sahaja di tempat-tempat program malah semakin ramai yang mengikuti secara langsung di media sosial.
“Walaupun begitu saya berharap program ini akan berjalan dengan baik tanpa ada elemen negatif termasuk usaha secara sengaja untuk menggagalkan majlis.
“Saya akan sentiasa mengambil sikap keterbukaan kerana ‘spirit’ jelajah ini berpegang kepada prinsip rakyat perlu diberi penjelasan berhak tahu dan menghormati apa jua suara dan keluh kesah rakyat.
“Kerana itu saya memilih jalan untuk tidak bermonolog tapi memilih jalan untuk berdialog selama mana ia berjalan dengan sopan,” terangnya.
Mengulas berkaitan ahli pembangkang yang turut serta dalam program ini jelas Annuar, ia amat dialu-alukan walaupun mereka mengutarakan persoalan yang dikitar semula.
“Saya akan cuba tanpa rasa jemu untuk terus beri penjelasan dan kita berdoa agar Allah membuka pintu hati kawan-kawan kita ini agar tidak terus berada dalam politik kebencian dan terperangkap dalam politik persepsi semata-mata.
“Ini kerana politik itu adalah realiti, soal bangsa, negara dan pembentukan kuasa pemerintahan… ini semua adalah realiti yang terlalu mahal untuk kita digadaikan,” ulas Annuar.
0 comments:
Post a Comment