Wednesday, 28 March 2018

Pemimpin Dap Beri Contoh Terbaik Bagaimana Berita Palsu Dihasilkan


KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata adalah tidak menghairankan mengapa pemimpin Dap begitu kuat sekali menentang Rang Undang-Undang Berita Palsu.

Beliau merujuk kenyataan media  Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Dap  merangkap Pengerusi Dap  Johor dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, hari ini yang menyebut mengenai tiga langkah Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan Pakatan Harapan.

“Langkah kedua Datuk Seri Najib adalah kononnya untuk mengekang media digital di mana, kata Liew Chin Tong, ‘penggantungan portal berita The Malaysian Insight dan pelbagai kumpulan media sosial berpengaruh dalam minggu-minggu pilihan raya umum boleh dilihat sebagai usaha Najib untuk mengawal dan menekan media dalam talian’ manakala ‘Rang Undang-Undang Berita Palsu juga mungkin akan disalahgunakan sewaktu pilihan raya’.

“Gambaran yang diberikan oleh kenyataan media Liew Chin Tong ini adalah penggantungan portal berita The Malaysian Insight dibuat oleh pihak kerajaan dan berpunca daripada tindakan pihak kerajaan ‘untuk mengawal dan menekan media dalam talian’”, katanya dalam tulisan di Facebook beliau di sini, hari ini.

Walhal tegas Dr Kamarul, Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq, pada 23 Mac lalu menyebut bahawa penggantungan/penghentian operasi The Malaysian Insight ini adalah dibuat oleh pihak The Malaysian Insight sendiri, bukannya oleh pihak kerajaan.

“Alasan yang diberikan oleh Jahabar Sadiq ke atas penggantungan/penghentian operasi The Malaysian Insight ini adalah ‘kerana persekitaran kewangan yang mencabar’ dan ‘kerana (ia) terlepas jangka masa perancangan utama untuk memperkenalkan sistem pembayaran berita, serta trafik laman(nya) juga tidak mencapai tahap sasaran yang ditetapkan’.

“Inilah perangai pemimpin Dap, sanggup menyebarkan berita palsu demi memarakkan sentimen kebencian rakyat bukan sahaja kepada Pas malah juga kepada UMNO”, ujarnya.

Justeru jelas beliau tidak hairanlah mengapa pemimpin Dap begitu kuat sekali menentang Rang Undang-Undang Berita Palsu. –MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment