Friday 9 March 2018

DAP Dicabar Jangan Calonkan Guan Eng Dan Isytihar Calon Baru Ketua Menteri P.Pinang


TASEK GELUGOR, 9 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugur, Mohd Nashrol Hisham Abdullah mencabar Dap agar tidak mencalonkan Lim Guan Eng sebagai calon pilihan raya termasuk mengisytiharkan nama calon baru Ketua Menteri Pulau Pinang seandainya Dap masih menerajui pucuk pimpinan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, cabaran ini dibuat untuk membuktikan bahawa janji-janji manifesto pakatan pembangkang yang mahu menghadkan tempoh dua penggal bagi jawatan tertinggi Perdana Menteri, menteri dan ketua menteri ini adalah sesuatu yang serius dan bukan sekadar retorik palsu seperti manifesto mereka pada beberapa pilihan raya umum lalu.

“Saya pasti mereka akan memberi jawapan bahawa janji itu hanya akan diambil kira selepas PRU-14 tetapi sepatutnya mereka buktikan kepada rakyat bahawa apa yang mereka janjikan adalah betul.

“… maka, Ketua Menteri Pulau Pinang harusnya orang baru. Tetapi jika inipun mereka tidak boleh lakukan maka percayalah, temberang dan putar belit itu memang mainan pembangkang,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau, rakyat negeri ini sebenarnya sudah muak dan bosan dengan segala janji manis pembangkang kerana seperti biasa janji pembangkang hanya akan tinggal janji.

“Bukan janji ini sahaja yang mereka tidak mampu tunaikan, tetapi janji untuk menghapuskan tol Sungai Nyior, janji berkaitan penjelasan kerajaan negeri terhadap projek terowong dasar laut bernilai lebih RM60 bilion yang sehingga kini masih mencetuskan misteri berhubung pemberian tendernya, bukan sahaja penduduk negeri ini yang mempersoalkan mengenai perkara itu, tetapi rakan mereka dalam pembangkang turut tertanya-tanya mengenai ketelusannya.

“Janji untuk mengatasi masalah banjir dalam tempoh sembilan bulan selepas menjadi kerajaan negeri bukan sahaja tidak ditunaikan, kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum inipun turut dinaiki air. Ini belum janji rumah untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik. Sehingga kini bayang rumah mampu milik yang dibina kerajaan negeri langsung tidak kelihatan,” ulas beliau lagi.

Justeru tegas beliau bagaimana Dap boleh berfikir bahawa rakyat akan terus mempercayai janji pembangkang sedangkan janji selama inipun tidak pernah mereka tunaikan. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment