Sunday 25 March 2018

Dakwaan PDRM ‘Pak Turut’ Kerajaan Tuduhan Tak Berasas – Najib


KUALA LUMPUR, 25 Mac – Dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘pak turut’ kepada kerajaan dan ‘makan gaji buta’ merupakan tuduhan tidak berasas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil melahirkan rasa kesal, Perdana Menteri berkata tuduhan itu dibuat bertujuan untuk melahirkan persepsi serong masyarakat terhadap pasukan keselamatan tertua negara itu.

“Terbaru pula ada bekas pemimpin yang sudah berumur 93 tahun telah mendakwa polis kononnya yang bertanggungjawab dan bersalah kerana mendorong beliau memecat timbalan perdana menteri pada 1998, ” katanya.

Najib berkata dakwaan itu bagaimanapun telah dijawab bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Rahim Mohamed Noor sebagai KPN ketika itu yang memaklumkan polis tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk memecat sesiapa pun.

Najib berkata demikian semasa berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Najib turut menyelar hasrat Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mahu memecat kesemua pegawai tinggi dalam kerajaan hari ini sekiranya pakatan pembangkang memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Berlainan dengan pihak kerajaan, kita sebaliknya sentiasa menghargai sumbangan anggota PDRM.

“Dan saya ingin katakan bahawa kepentingan dan kebajikan PDRM akan terus diperjuangkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Bernama

0 comments:

Post a Comment