Wednesday 10 January 2018

PRU-14 : Jahara Lepaskan Kerusi DUN Telok Air Tawar


BUTTERWORTH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Telok Air Tawar yang disandangnya sejak 1999 bagi memberi peluang kepada calon muda di kawasan itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jahara,67, berkata beliau sudah lama berniat mahu melepaskan kerusi berkenaan termasuk enggan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lalu, namun akur selepas Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak meletakkan namanya sebagai calon.

Beliau berkata, sudah tiba masanya beliau melepaskan kerusi disandangnya sejak lima penggal lalu, selain mengakui DUN Telok Air Tawar memerlukan calon baharu yang lebih muda dan mempunyai ciri kepemimpinan yang baik.

"Saya selaku Ketua Wanita UMNO kawasan ini bersedia bekerja dan membantu mana-mana calon muda yang bertanding termasuk memberi nasihat serta tunjuk ajar.

"Sudah lama saya memegang jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan ini dan berharap dapat memberi peluang kepada orang lain terutamanya kepada calon muda," katanya selepas Program Touchpoint Cabinet Away Day 2.0 anjuran Politeknik Seberang Perai (PSP) di Permatang Binjai dekat sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 40 pelajar dan 15 pensyarah PSP dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi membantu menyelenggara serta membaik pulih lima rumah yang sudah uzur di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Jahara berkata, beliau berterima kasih kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang sentiasa memberi peluang kepadanya berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

"Saya akui menjadi wakil rakyat bukan sesuatu yang mudah, tetapi syukur sejak lapan hingga sembilan tahun kebelakangan ini banyak perubahan dan rancangan dilaksanakan di kawasan ini.

"Paling bermakna apabila saya dapat membawa projek membina hampir 200 gerai untuk ruang niaga di sini, sekali gus membantu penjaja kecil mendapatkan tempat lebih selesa dan mematuhi peraturan," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment