KUALA LUMPUR, 30 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyifatkan pembangkang kini semakin takut dan gentar apabila melihat khidmat masyarakat yang dijalankan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjadi tumpuan rakyat yang memerlukan.
Jelas beliau, kerana perasaan tergugat itulah mereka semakin terdesak sehingga sanggup menyebarkan fitnah kononnya BN beli undi dengan memberi wang dan barangan keperluan.
“Bila tular di media sosial kononnya BN beli undi saya berasa sangat kecewa. Ini satu fitnah jahat yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka sengaja sebarkan gambar sampul dengan logo BN, barangan keperluan dengan logo BN dan sebagainya.
“Kita BN sentiasa berkhidmat tidak kira waktu. Sudah berpuluh tahun, memang sumbangan ini diberi berterusan. Ada dalam bentuk kerajaan dan dalam bentuk parti.
“Siapa yang terima sampul ini? Mereka yang uzur, sakit kronik, yang datang ke pusat khidmat, golongan asnaf, anak masuk asrama, kenduri kahwin, kematian dan sebagainya. Ini berterusan setiap minggu, bulan.. sejak dulu,” ujarnya.
Justeru, beliau sangat kecewa dengan individu yang menyebarkan gambar kononnya BN mahu membeli undi.
“Pemimpin kita termasuk parti komponen apabila turun ke akar umbi sudah pasti akan menghulurkan sampul ataupun barangan keperluan.
“Tanyalah mereka di bawah, ramai yang terima termasuklah mereka di kawasan pembangkang. Kawasan yang mustahil BN menang pun kita beri. Kalau orang tengok orang cakap kita bodoh lah tapi kita tidak buat atas perkiraan menang atau kalah. Kita bagi pada mereka yang memerlukan,” tegas Zainal.
Oleh itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar berfikir secara matang dengan taktik politik murahan ini.
“Apa yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini adalah semata-mata mahu mengaburi mata rakyat kononnya mereka yang tidak menerima bantuan ini disisihkan.
“Inilah fitnah jahat yang cukup bahaya. Jadi nasihat saya kepada orang ramai, berfikirlah secara matang dan jangan mudah terpengaruh dengan fitnah ini,” ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment