Monday 22 January 2018

Tidak Timbul Lagi Soal Mustahil Robohkan Kubu Kuat ‘Dinasti Anwar’ Di Permatang Pauh


PULAU PINANG, 22 Jan – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Mohd Said berkata tidak timbul lagi soal Permatang Pauh sebagai kawasan ‘Dinasti Anwar’ yang mustahil untuk dirobohkan.

Jelasnya pilihan raya umum akan datang merupakan peluang yang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) mengajak rakyat di kawasan ini untuk melakukan perubahan memandangkan wujud lompong-lompong kekecewaan yang semakin besar di kalangan pengundi.

“Tidak timbul bahawa UMNO dan BN tidak berkemampuan untuk merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh ini dari ‘Disnasti Anwar’, kerana sememangnya selama ini semua pihak termasuk dalam BN sendiri yang melihat Permatang Pauh ini kubu kuat Anwar Ibrahim yang tidak boleh digoyangkan.

“Sejak mengambil alih kepimpinan UMNO Permatang Pauh pada 2013, saya menyedari hakikat tersebut dan saya telah meletakkan sasaran untuk mengubah apa yang ada dalam pemikiran orang mengenai Permatang Pauh ini,” ujarnya yang juga Pengerusi BN Permatang Pauh.

Tambahnya, Anwar hanya memberikan khidmat baktinya ketika dia bersama dalam kepimpinan UMNO dan BN, selepas itu dia tidak mengendahkan dan mengabaikan tanggungjawabnya di Permatang Pauh ini.

Kini rakyat di Permatang Pauh ini tegas beliau perlu disedarkan bahawa ruginya mereka tidak mempunyai wakil rakyat parlimen dari BN kerana tidak ada peruntukan malah pembangunan di kawasan parlimen ini terencat kerana tidak ada ahli parlimen baru yang mengambil berat hal ehwal di kawasan tersebut.

“Saya memperjuangkan perubahan demi anak bangsa di sini, kerana saya percaya dan semua orang tahu bahawa Permatang Pauh ini satu-satunya parlimen dalam kawasan Seberang Perai Tengah ini yang tidak mempunyai Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Agama Berasrama Penuh.

“Jadi, saya perlu perjuangkan agar di kawasan kita ada sekolah yang saya maksudkan ini dan untuk merealisasikan perjuangan ini, rakyat Permatang Pauh ini perlu menyokong perjuangan BN dalam PRU14 agar hasrat dan impiam kita bersama ini boleh kita perolehi.

“Kita telah pun mengerakkan jentera pilihan raya kita, saya yakin keputusan di sini boleh berubah secara drastik dan kita percaya boleh membuktikan kemampuan kita membuat perubahan dalam PRU14 kelak,” tambahnya.

0 comments:

Post a Comment